Sunday 27 March 2011

Segera rawat anak hiperaktif

Segera rawat anak hiperaktif
Kesihatan Anak: Segera rawat anak hiperaktif


Kanak-kanak alami ADHD boleh membesar jadi orang dewasa bermasalah, dorong lakukan kesalahan, langgar undang-undang


KANAK-KANAK lasak, sukar duduk diam dan tidak memberi tumpuan termasuk mengikuti arahan ibu bapa sering dilabel sebagai nakal. Malah kebanyakan ibu bapa menganggap masalah itu akan beransur hilang seiring peningkatan usia mereka. Di sebalik kenakalan itu berkemungkinan besar tersembunyi masalah yang perlu dirujuk kepada pakar.

Mereka mungkin berada dalam kelompok kanak-kanak hiperaktif atau Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD) iaitu masalah tingkah laku disebabkan ketidaknormalan otak yang membuatkan kanak-kanak ini berciri aktif sejak lahir, berkelakuan mengikut gerak hati, perhatian mudah berubah serta sukar mengasingkan maklumat.

Perunding Psikiatrik Kanak-kanak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Subash Kumar Pillai, berkata ADHD sukar dikesan dan ia tidak mudah didiagnosis disebabkan tiada simptom boleh dilihat seperti penyakit lain namun tahap kenakalan kanak-kanak berkenaan berbeza dengan rakan seusia.

Katanya, kebanyakan anak kecil yang mengalami masalah ini hanya dirujukkan kepada pakar selepas usia enam hingga sembilan tahun walaupun sebenarnya ibu bapa atau penjaga menyedari kelainan itu sejak mereka kecil tetapi menganggap ia perkara biasa.

“Bukan mudah untuk diagnosis tanda masalah kerana daripada mata kasar, kanak-kanak ADHD sama dengan rakan sebaya mereka. Pada usia itu mereka mula lasak dan nakal disebabkan rasa ingin tahu mengenai sesuatu perkara. ADHD tidak seperti patah kaki yang dapat dilihat.

“Perbezaan antara ADHA dengan nakal ialah tahap tingkah laku. Kanak-kanak nakal akan mendengar cakap tetapi bukan anak kecil yang mengalami ADHD. Mereka tidak mahu mendengar arahan atau belajar daripada kesilapan. Dia akan melakukan kesilapan berulang kali.

“Jika anda meletakkan 10 budak nakal dan 10 kanak-kanak ADHD dalam satu kumpulan, anda masih tidak nampak kelainan. Cuma nakal biasa, mereka masih boleh dikawal manakala ADHA amat susah dikendalikan hingga kita menyangka mereka menghadapi masalah tingkah laku,” katanya.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 1996 mendapati, 330,000 kanak-kanak atau 4.3 peratus mengalami masalah ADHD. Jika tidak diberi rawatan lebih awal, 60 peratus daripada individu ini akan membesar sebagai orang dewasa bermasalah hingga mendorong mereka melakukan perkara menyalahi undang-undang.

Disebabkan ADHD mempengaruhi genetik, seorang bapa boleh mewariskan sindrom ini kepada anak lelaki mereka. Keadaan itu juga menjadikan kanak-kanak lelaki lebih cenderung mengalami ADHD sebanyak tiga kali ganda berbanding budak perempuan.

Dr Subash berkata, masalah ini boleh dipanggil penyakit yang tidak nampak kerana secara realiti, mereka sihat malah kebanyakannya mempunyai tahap IQ setara individu biasa dan lebih menakjubkan sebilangan besar mempunyai kebolehan serta bakat seni luar biasa.

“Kanak-kanak ini tidak sakit. Mereka hanya mengalami ketidakseimbangan sistem neuro dalam otak termasuk dopamin menjadikan mereka sukar mengawal diri. Penyakit ini juga bukan berpunca daripada makanan, pengambilan gula berlebihan, alahan atau terpengaruh dengan televisyen.

“Hakikatnya semua bayi dilahirkan ke dunia ini mempunyai kebolehan untuk belajar, tetapi terpulang kepada ibu bapa untuk mencorakkannya. Kurang faham atau tidak tahu masalah anak menyebabkan sesetengah kanak-kanak ini terbiar tanpa sebarang rawatan,” katanya.

Dr Surash berkata, ADHD perlu dirawat segera sebaik disedari kerana ia menyebabkan beberapa masalah sampingan seperti perasaan rendah diri, kurang yakin dan lemah pencapaian akademik hingga kebanyakan daripada mereka dipulaukan teman sebaya.

Kajian menunjukkan kira-kira 42 peratus pelajar ADHD di Amerika Syarikat terpaksa mengulang kelas sekurang-kurangnya sekali sepanjang zaman persekolahan. Bahkan, individu ADHD dewasa pula didapati mengambil cuti sakit lima kali lebih kerap berbanding orang lain.

“Ibu bapa tidak harus kecewa atau parah semangat jika anak mereka didapati mengalami penyakit ini. Bawa mereka bertemu pakar supaya tingkah laku ini tidak terbawa-bawa ke alam dewasa. Mereka masih berpotensi menjalani hidup normal seperti individu lain,” katanya yang menerima empat hingga lima kes baru seminggu.

Mengenai rawatan, diagnosis biasanya hanya dilakukan selepas kanak-kanak berkenaan mencecah usia tujuh tahun iaitu selepas mereka memasuki alam persekolahan di mana mereka sudah mengetahui soal disiplin. Jika tahap tidak teruk, pesakit dan keluarga hanya mengikuti terapi.

Bagi golongan ADHD yang terlewat didiagnosis, selain bantuan ubat stimulasi bagi mengurangkan hiperaktif, pendekatan secara multidisilpin juga diterapkan termasuk gabungan perubatan, psikologi, sosial dan pendidikan.

Info: Tingkah laku Kanak-kanak ADHD


Kerap menggerakkan tangan atau kaki atau menggeliat di tempat duduk.


Selalu meninggalkan tempat duduk.


Selalu memanjat dan berlari ke sana sini.


Kerap menghadapi masalah bermain atau melakukan aktiviti riadah secara senyap.


Banyak bercakap


Bergerak cergas atau bertindak seolah-olah mereka digerakkan motor.


Tingkah laku anak hiperaktif ini sukar untuk diduga. Cerewet tanpa sebab dan mudah marah untuk perkara kecil.


Apabila bermain sesuatu ia cepat bosan dan mencari permainan baru yang lebih mencabar fizikalnya.


Segala kehendaknya perlu dipenuhi segera dan tidak boleh bertoleransi.

Tempoh tumpuan singkat


Sering gagal memberi tumpuan terhadap butir terperinci atau membuat kesilapan kerja sekolah atau aktiviti lain.


Tidak mematuhi arahan kerja sekolah atau aktiviti lain.


Mengalami masalah mengatur tugas atau aktiviti lain.


Kerap mengelak, tidak suka atau malas melakukan perkara yang perlu dilakukan dengan tumpuan.


Selalu kehilangan atau tercicir barang.


Tumpuan mudah bertukar daripada satu aktiviti kepada aktiviti lain.


Pelupa kerana ia tidak sepatutnya berlaku dalam usia berkenaan.

Tingkah laku impulsif


Selalu beri jawapan sebelum soalan lengkap diajukan.


Kurang sabar menghadapi masalah menunggu giliran.


Sering mengganggu atau mencelah aktiviti rakan lain.


Kerap salah pertimbangan.



*KENAKALAN kanak-kanak berkemungkinan besar tersembunyi
masalah yang perlu dirujuk kepada pakar.

3 comments:

  1. Sudah ada remedi utk atasi masalah autism ADHD Pusat Rawatan Fitrah Healthcare Centre Gombak sedia membantu anak2 yg bermasalah.Sudah ramai yg mendapat manfaat dan kesan dari rawatan disini.Dijamin berkesan dan selamat. 0196676236 -Dr Wan

    ReplyDelete