Wednesday 22 June 2011

PENILAIAN PENGESANAN, PENILAIAN DIAGNOSTIK, PENILAIAN PENCAPAIAN DAN PENILAIAN PSIKOLOGI.

 Notes from :
MOHD ANUAR  ABDULLAH * UNIT PEND. KHAS, JAB. ILMU PENDIDIKAN, IPIP, 2007


PENGENALAN

Secara umumnya penilaian bolehlah ditakrifkan sebagai satu kaedah atau satu sistem yang digunakan untuk membuat sesuatu perancangan baru yang lebih baik dan lebih berkesan. Ianya bermula dengan membuat pengumpulan maklumat yang bertujuan untuk membuat sesuatu keputusan. Secara keseluruhannya penilaian boleh dijalankan oleh pakar-pakar psikologi, pakar psikiatrik, guru pendidikan khas, guru-guru dan ibu bapa. Umumnya penilaian dijalankan bertujuan untuk menentukan kekuatan dan kelemahan serta keperluan seseorang pelajar.

D. Stufflebeam, dalam bukunya Educational Evaluation and Decision (Pedagogi 3 Pengujian Dan Penilaian, Pemulihan, Pengayaan Dan Pendidikan Inklusif, Mok Soon Sang, Kumpulan Budiman Sdn Bhd 1997 ) membuat takrifan, penilaian itu sebagai proses menentukan, mendapatkan dan memberi maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan mengenai tindakan yang akan diambil selanjutnya.

Juga dapat dikatakan bahawa penilaian itu adalah sesuatu rumusan daripada dapatan data-data yang telah dikumpul. Dengan kenyataan-kenyataan yang tepat berkenaan tahap pencapaian atau kemerosotan perubahan tingkah laku, sikap, sahsiah, harga diri seseorang atau untuk lain-lain tugasan. Dalam konteks ini pengukuran juga adalah penilaian yang dapat dinyatakan dalam bentuk kuantiti iaitu angka atau gred.


JENIS-JENIS PENILAIAN PSIKOLOGI

Menurut ahli-ahli psikologi penilaian terbahagi kepada beberapa kategori.  Antaranya seperti berikut ;
i-                Penilaian Pengesanan
ii-              Penilaian Diagnostik
iii-            Penilaian Perkembangan
iv-             Penilaian Pencapaian
v-               Penilaian Aptitut
vi-             Penilaian Kebolehan
vii-           Penilaian Kerjaya
viii-         Penilaian Personaliti
ix-             Penilaian Kesihatan Mental

PENILAIAN PENGESANAN

Definisi Penilaian Pengesanan
           
            Penilaian pengesanan ialah satu penilaian tidak formal yang dilakukan kepada kanak-kanak berumur di bawah tujuh tahun. Penilaian ini dilakukan secara pemerhatian ataupun dengan cara perbandingan dengan kanak-kanak yang lain. Penilai terdiri daripada individu yang rapat dengan kanak-kanak tersebut terutama  guru, ibu bapa dan pengasuh. Maklumat yang diperolehi daripada hasil penilaian akan digunakan untuk merancang aktiviti yang boleh meningkatkan keupayaan kanak-kanak tersebut.

Tujuan Penilaian Pengesanan
Penilaian pengesanan kanak-kanak yang dilakukan oleh guru dan ibu bapa  akan  memberi gambaran awal tentang jenis ketidakupayaan atau perkembangan kanak-kanak.  Gambaran awal ini penting untuk kita mengenal pasti tahap keupayaan kanak-kanak.


Sekiranya didapati kanak-kanak menghadapi ketidakupayaan dari aspek tertentu, guru prasekolah atau ibu bapa dapat mengambil tindakan awal untuk mengatasi kekurangan tersebut. Antara langkah yang boleh diambil oleh guru dan ibu bapa ialah merujuk kepada pakar atau perkhidmatan yang berkaitan untuk menolong kanak-kanak tersebut.  Langkah segera ini akan membantu kanak-kanak menangani ketidakupayaannya.

3.2.1 Mengesan keupayaan kanak-kanak di peringkat awal.
Penilaian pengesanan ini dapat membantu guru dan ibu bapa mengenal pasti ketidakupayaan yang dialami oleh anak-anak mereka. Setelah mengetahui tahap keupayaan kanak-kanak, guru dan ibu bapa bolehlah merancang dan melaksanakan tindakan yang boleh membantu kanak-kanak tersebut meningkatkan keupayaan yang sedia ada dengan aktiviti yang berkesan.

3.2.2 Kenal pasti tahap kelebihan  yang dimiliki .
Penilaian pengesanan ini dapat membantu guru dan ibu bapa mengenal pasti kekuatan atau kelebihan yang dimiliki oleh kanak-kanak. Kanak-kanak terdiri daripada pelbagai kecenderungan atau kelebihan yang dimiliki contohnya jika seseorang kanak-kanak itu kelihatan lebih cenderung ke arah aktiviti sosial seperti bermain bersama kawan dan  suka berbual maka guru dan ibu bapa haruslah meningkatkan kecenderungan itu.

3.2.1       Kumpul maklumat untuk simpanan rekod
Maklumat yang diperolehi akan digunakan untuk tujuan rujukan bimbingan dan perancangan yang sesuai untuk kanak-kanak tersebut. Maklumat ini juga boleh diserahkan kepada pihak yang berkaitan sebagai rujukan dalam proses meningkatkan keupayaan kanak-kanak.

3.2.2       Membantu ibu bapa dan guru menyelesaikan masalah kanak-kanak .
Penilaian pencapaian ini dapat mendedahkan masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak. Dengan maklumat yang diperolehi dari hasil penilaian ini, guru dan ibu bapa dapat merancang tindakan susulan untuk mengurangkan masalah atau kekurangan keupayaan kanak-kanak tersebut. Masalah ini akan dapat dikurangkan sekiranya perancangan dilakukan mengikut keperluan kanak-kanak.

Kepentingan Penilaian Pengesanan
3.3.1       Dapat mengetahui  ketidakupayaan dengan lebih awal.
Dengan adanya penilaian ini, guru dan ibu bapa dapat mengetahui tahap perkembangan  kanak-kanak di peringkat awal. Sekiranya tahap perkembangan berada pada paras normal, guru dan ibu bapa bolehlah merancang aktiviti yang boleh mengembangkan lagi kemahiran yang sedia ada. Begitu juga sebaliknya, jika didapati kanak-kanak itu berada pada tahap perkembangan yang agak perlahan maka guru dan ibu bapa bolehlah merancang aktiviti yang mampu meningkatkan kemahiran atau keupayaan kanak-kanak tersebut. Langkah awal yang diambil dapat membantu kanak-kanak menigkatkan ketidakupayaannya dengan lebih cepat.

3.3.2       Menyediakan perancangan berdasarkan keperluan kanak-kanak.
Setelah melakukan penilaian pengesanan, guru dan ibu bapa akan mengetahui keperluan anak-anak mereka. Berdasarkan maklumat yang diperoleh itu, guru dan ibu bapa dapat merancang perancangan yang sesuai dengan keperluan kanak-kanak itu.

3.3.3       Kenal pasti kekuatan dan kelemahan kanak-kanak.
Melalui penilaian pengesanan ini juga, guru dan ibu bapa dapat mengenal pasti kelebihan dan kekurangan  kanak-kanak.  Setelah mengetahui kemampuan kanak-kanak, guru dan ibu bapa bolehlah membuat perancangan untuk mempertingkatkan lagi kekuatan  dan mengurangkan kelemahan yang dimiliki oleh kanak-kanak tersebut.

3.3.4       Menyediakan laporan untuk rujukan pakar.
Keputusan penilaian pencapaian ini boleh diajukan kepada pakar bagi kes yang memerlukan khidmat pakar. Maklumat yang diperolehi ini akan membantu pakar mengenali dan mengesan tahap keupayaan  kanak-kanak ini dalam tempoh yang singkat.  Seterusnya proses meningkatkan keupayaan kanak-kanak akan dapat dijalankan dengan segera dan berkesan.

3.3.5       Simpanan rekod untuk rujukan dan bimbingan.
Rekod atau keputusan penilaian pencapaian yang diperolehi akan disimpan untuk rujukan dan bimbingan. Rekod ini penting bagi memudahkan guru membuat rujukan sekiranya diperlukan. Dengan itu kanak-kanak ini akan dinilai dari masa ke semasa berdasarkan rekod terdahulu dan pencapaian yang telah mereka kuasai.

PENILAIAN DIAGNOSTIK

Definisi Penilaian Diagnostik
Beberapa definisi penilaian diagnostik adalah seperti berikut :-

Kementerian Pelajaran Malaysia mendefinasikan penilaian diagnostik ini sebagai satu penilaian formatif bagi mendapatkan data-data yang menunjukkan kelemahan tertentu yang menyulitkan proses pengajaran dan pembelajaran . Dari segi pencapaian akademik , ujian ini dijalankan secara individu yang memberi fokus utama untuk menilai kebolehan dalam satu atau beberapa bidang .Data - data terperinci ini dapat memberi maklumat tentang kekuatan dan kelemahan tertentu yang dapat menyediakan RPI yang sesuai bagi individu berkenaan .

Dalam pendidikan kanak-kanak khas pula, penilaian diagnostik merupakan satu penilaian yang mendalam dan khusus bagi kanak-kanak yang umurnya atara 6 hingga 7 tahun . Penilaian ini biasanya boleh dilakukan oleh pakar-pakar psiakiatris dan psikologis dalam mengkategorikan kanak-kanak secara lebih spesifik. Jika rumusan yang dibuat pakar-pakar ini bercanggah, ibu bapa dinasihatkan mendapatkan “second option” apabila merujuk kanak-kanak itu. Buku DSM IV sering digunakan terutamanya ketika mengdiagnosis masalah mental.

Penilaian diagnostik juga dianggap sebagai satu penilaian dari segi emosi dan mental seseorang kanak-kanak berkeperluan khas. Penilaian ini lebih khusus dan spesifik tentang masalah kanak –kanak keperluan khas dari segi perubatan.
            Jadi dapatlah dirumuskan ujian diagnostik adalah ujian yang memberi maklumat terperinci supaya langkah-langkah tertentu dan lebih tepat  dapat dijalankan dengan lebih berkesan .

Tujuan Penilaian Diagnostik 
Menentukan jenis-jenis ketidak upayaan seseorang kanak-kanak lebih awal secara
lebih spesifik. Jenis-jenis ketidak upayaan ini dipengaruhi oleh factor-faktor dalaman yang membezakan keupayaan kanak-kanak ini yang biasanya diwarisi dan dipelajari melalui pengalaman kanak-kanak itu seperti faktor genetik, proses pengamatan, proses penerimaan, pemikiran dan penyataan .Pengetahuan masalah kesulitan pembelajaran ini memudahkan guru-guru menggunakan pendekatan pengajaran sesuai untuk mengatasinya.

Penempatan yang lebih tepat untuk murid-murid ini mengikut aras kebolehannya. Ini membolehkan murid-murid dapat belajar dengan lebih selesa lagi. Murid-murid yang lemah memerlukan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berbeza kerana tumpuan perhatiannya yang tidak lama di kelas. Persediaan aktiviti P & P yang menarik dan dipelbagaikan amat dititikberatkan.

Memberikan maklumat tentang masalah kanak- kanak kepada ibu bapa dan guru-guru pendidikan khas. Pengetahuan ini dapat dijadikan pelunjuran oleh guru-guru dalam melaksanakan bimbingan kepada murid-murid yang lemah. Guru-guru juga dapat menyemak semula factor-faktor yang mempengaruhi keupayaan pembelajaran murid-muridnya di kelas.

Merancang kaedah rawatan yang bersesuaian dengan ketidak upayaan kanak-kanak itu. Ini kerana keupayaan belajar murid-murid adalah berbez. Murid yang lemah memerlukan banyak masa. Penempatan mengikut kebolehan mengurangkan rasa tertekan malahan murid-murid dapat belajar dengan selesa.

Memberikan panduan untuk mengendalikan kanak-kanak keperluan khas. Guru – guru dapat mengemaskinikan pengetahuan dan kemahiran kerana proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak ini memerlukan pelbagai kaedah agar mereka mudah faham. Guru-guru juga harus peka dengan keperluan dan perkembangan emosi, psikologi dan mental apabila berhadapan dengan kanak - kanak keperluan khas ini.

Digunakan untuk mendapatkan maklumat terperinci bagi menentukan kedudukan murid-murid dalam pelajarannya sebelum guru-guru memulakan sesuatu isipelajaran. Perolehan data-data ini membolehkan guru-guru mengubahsuaikan bahan, isi dan kaedah pengajaran mereka mengikut kesesuaian murid-muridnya .

Kepentingan Penilaian Diagnostik 
Dapat menentukan jenis-jenis ketidak upayaan kanak-kanak. Oleh itu guru-guru dan ibu bapa dapat mengenal pasti cadangan atau program intervensi yang boleh digunakan untuk kanak-kanak tersebut. Ia juga penting kepada ibu bapa untuk memberi intervensi awal termasuklah mengenal pasti penempatan yang sesuai untuk kanak-kanak tersebut dalam memberi pendidikan dan membantunya dalam kehidupan yang lebih selesa.

Menempatkan kanak-kanak ini mengikut kebolehan dan keperluan diri. Murid-murid berasa tidak tertekan dan belajar dengan selesa kerana guru-guru telah mengklasifikasi kebolehan mengikut kumpulan. Jadi mereka berasa tidak tersisih dan akan hilang perasaan negatifnya seperti malu belajar kerana guru-guru memberi perhatian dan tunjuk ajar yang sama mengikut kebolehan.

Guru-guru dapat menentukan objektif yang hendak dicapai bagi setiap individu yang berbeza keperluan. Ini kerana setiap kanak-kanak mempunyai perbezaan dalam diri sendiri dan antara individu. Perbezaan inilah yang mewujudkan pelbagai keperluan pendidikan yang perlu dipenuhi agar objektif yang dirancang memenuhi keperluan.

Guru-guru dapat meracang kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian mengikut tahap kebolehan murid. Untuk kelas yang lemah, strategi pengajaran lebih berkesan diperkembangkan seperti mengajar isi yang asas dan kurang menegaskan kemahiran yang kompleks dan abstrak yang tidak boleh dikuasai oleh murid ini.

Ibu bapa mendapat maklumat yang lebih jelas tentang ketidak upayaan anak-anak mereka. Ini dapat membantu ibu bapa mengetahui anaknya mempunyai ketidak upayaan tertentu lebih mendalam. Fenomena ini membolehkan ibu bapa mencari khidmat pakar-pakar tertentu bagi melatih anak-anaknya.  Hal demikian merupakan tindakan susulan utama yang boleh dilakukan dengan segera bagi membantu kanak-kanak itu.


PENILAIAN PERKEMBANGAN

Definisi Penilaian Perkembangan
Perkembangan ialah perubahan secara kuantitatif yang berlaku secara berterusan dari lahir hinggalah ke akhir hayat. Ia juga dipengaruhi oleh baka dan persekitaran.

Aspek Penilaian Perkembangan
Fizikal.
Penilaian dari segi fizikal merangkumi penilaian dari aspek menggunakan kemahiran anggota badan. Ianya bertujuan untuk memastikan bahawa kanak-kanak akan membesar mengikut bentuk tubuh dan ketinggian yang sesuai dengan usianya. Selain itu, kanak-kanak juga akan dinilai tahap perkembangan dari segi motor halus dan motor kasar.

Kognitif.
Penilaian perkembangan kognitif merangkumi kemahiran kanak-kanak berfikir seperti membuat persepsi, memahami konsep, menyelesaikan masalah dan kebolehan mengingat. Penilaian ini berdasarkan tahap umur kanak-kanak selari dengan kebolehan kognitif mereka.

Sosial.
Aspek sosial merangkumi kebolehan kanak-kanak berinteraksi dan menyesuaikan diri dengan kawan-kawan di persekitarannya. Kanak-kanak yang berkebolehan berkawan dan bermain bersama rakan menunjukkan perkembangan sosial yang baik. Sekiranya kanak-kanak itu lebih suka menyendiri dan tidak mahu bercampur-gaul bersama rakan yang lain menunjukkan bahawa kanak-kanak ini memerlukan bimbingan untuk menyakinkan dirinya ketika berhadapan dengan rakan-rakan yang lain.

Emosi.
Aspek emosi merangkumi kebolehan kanak-kanak menguasai dan mengawal perasaan. Kanak-kanak akan dinilai melalui reaksi yang ditunjukkan oleh mereka iaitu seperti perasaan gembira, gelisah, pendiam, risau, dan malu. Kanak-kanak yang emosinya stabil dan tiada tekanan akan menunjukkan sikap yang ceria dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi ketika bersama rakan yang lain. Bagi kanak-kanak yang mempunyai tekanan emosi lebih cenderung duduk mendiamkan diri dan sentiasa diselubungi perasaan takut, bimbang, dan tiada keyakinan diri ketika berhadapan dengan rakan-rakan yang lain. Kanak-kanak yang menghadapi masalah ini perlu dibimbing dan sentiasa memberi peluang kepadanya untuk meningkatkan kembali keyakinan dirinya.

Bahasa Dan Komunikasi.
Aspek ini merangkumi kemahiran bertutur menggunakan bahasa yang difahami. Perkataan yang digunakan juga jelas selari dengan peringkat umur kanak-kanak. Kanak-kanak yang berumur empat tahun dan mempunyai masalah artikulasi iaitu masalah sebutan yang tidak jelas contohnya ‘buku’ disebut ‘butu’, ‘makan’ disebut ‘matan’, ‘pokok’ disebut ‘potok’ dan lain-lain lagi.  Untuk mengatasi masalah ini guru dan ibu bapa mestilah melatih kanak-kanak ini  menyebut ayat-ayat mudah dahulu seperti ayat suku kata terbuka. Setelah menguasai ayat mudah barulah menyebut ayat suku kata tertutup.


Pengurusan Diri.
Aspek ini merangkumi kebolehan kanak-kanak menjaga dan memelihara diri sendiri dari segi makan, minum, memakai pakaian, menggunakan tandas, mandi, kekemasan diri, memakai kasut, dan lain-lain. Kanak-kanak yang biasa, mampu melakukan perkara-perkara ini pada usia empat tahun ke atas. Sekiranya ada dikalangan kanak-kanak yang masih gagal melakukan salah satu perkara di atas contohnya memakai pakaian dan memakai kasut maka kanak-kanak ini perlu di beri latihan setiap hari agar dapat menguasai kemahiran tersebut.

Tujuan Penilaian Perkembangan
Menilai perkembangan kanak-kanak.
Penilaian perkembangan kanak-kanak bertujuan untuk menilai tahap perkembangan dari segi fizikal, kognitif, sosial, emosi, bahasa dan pertuturan, dan pengurusan diri. Sekiranya kanak-kanak ini ketidakupayaan berkembang secara normal, maka guru boleh menjalankan proses intervensi untuk membantu kanak-kanak tersebut berkembang mengikut tahap umurnya.

Mengesan kekurangan kanak-kanak
Melalui proses penilaian perkembangan ini, guru dapat mengesan tahap perkembangan  kanak-kanak tersebut. Dari enam aspek penilaian yang telah disebutkan, mungkin kanak-kanak ini mengalami kekurangan perkembangan dari segi kognitif dan bahasa. Oleh yang demikian guru dapat merancang proses intervensi yang sesuai untuk kanak-kanak tersebut.

Mengambil tindakan untuk mempertingkatkan tahap perkembangan.
Setelah guru mengenal pasti kekurangan perkembangan yang dialami oleh kanak-kanak ini, guru merancang program intervensi yang sesuai untuk meningkatkan tahap perkembangan selari dengan usianya. Proses intervensi ini melibatkan latihan latih tubi latihan yang berterusan untuk melatih kanak-kanak ini berkembang mengikut tahap perkembangan yang normal.

Penglibatan keluarga dalam proses mempertingkatkan tahap perkembangan.
Penilaian perkembangan yang dijalankan akan membantu guru dan ibu bapa mengenal pasti tahap kekurangan kanak-kanak berdasarkan enam aspek tadi. Kanak-kanak yang mengalami kekurangan dapat dibantu untuk meningkatkan keupayaan dengan lebih cepat sekiranya guru dan ibu bapa dapat bekerjasama untuk mengatur program yang sesuai dengan kanak-kanak tersebut. Sekiranya program pemulihan dilakukan berterusan di sekolah dan di rumah, sudah tentu kanak-kanak ini akan menguasai kemahiran dengan lebih cepat.

Kegunaan Penilaian Perkembangan
Kanak-kanak akan mengalami perkembangan sejak lahir hingga berumur 6 tahun. Dalam tempoh ini kanak-kanak akan mengalami banyak pembelajaran dan berkembang mengikut tahap umur yang tertentu. Perkembangan ini akan terbantut sekiranya kanak-kanak ini mengalami ketidakupayaan. Ketidakupayaan ini akan membezakan kanak-kanak ini berbeza dengan kanak-kanak yang lain. Sekiranya masalah ini dibiar beralarutan ianya akan memberi kesan jangka panjang kepada keluarga dan kanak-kanak tersebut. Oleh yang demikian perbezaan ini perlu dikesan diperingkat awal agar pihak yang rapat dengan kanak-kanak ini seperti guru dan ibu bapa dapat membantu mengurangkan masalah kanak-kanak ini melalui program intervensi. Melalui program ini kanak-kanak akan dilatih dan diasuh sehingga mereka dapat meningkatkan kebolehupayaan dalam kemahiran yang patut mereka kuasai selaras dengan umur mereka. Dalam hal ini guru dan ibu bapa perlu memainkan peranan dan sentiasa peka dengan perkembangan kanak-kanak. Langkah ini penting agar kanak-kanak yang tidak berkeupayaan akan diatasi pada peringkat awal.


PENILAIAN PENCAPAIAN
Definisi Penilaian Pencapaian
Beberapa definisi tentang penilaian pencapaian adalah seperti berikut :-
Proses mengumpul maklumat atau data tentang pencapaian murid-murid di sekolah. Penilaian ini dapat memberi gambaran tentang pencapaian murid-murid dalam mata pelajaran yang diuji. Contohnya, penguasaan murid-murid dalam isikandungan kurikulum tertentu .

Menilai kecekapan dan kemahiran melalui pemerhatian dan ujian bertulis bagi mengesan tahap pencapaian murid-murid yang berumur 7 tahun ke atas. Biasanya ujian ini digunakan oleh ahli psikologis dan guru pendidikan khas untuk menentukan sama ada murid-murid ini sesuai untuk ditempatkan di kelas inklusif. Ujian pencapaian ini melibatkan   matapelajaran Bahasa Malaysia (membaca dan menulis), Bahasa Inggeris (reading and writing) , Matematik , Sains dan Pendidikan Moral .

Penilaian pencapaian merupakan proses menentukan perubahan tingkah laku seseorang dan pertimbangan nilai. Pertimbangan nilai boleh diperolehi dari interpretasi hasil pengukuran kuantitatif atau pengukuran kualitatif atau kombinasi kedua-duanya yang melibatkan 3 perkara iaitu pertama: dapat maklumat daripada cara mengukur; kedua: menetapkan sesuatu kriteria bagi mengukur dan ketiga: membuat pentafsiran tentang hasil pengukuran.

Menurut Mokhtar Ismail (1995), Penilaian pencapaian digunakan bagi menilai tahap pengetahuan, kemahiran dan kecekapan semasa. Contohnya, ujian bulanan di bilik darjah dan ujian peringkat awam seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM yang dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Tujuan Penilaian Pencapaian 
Mengenal pasti murid yang tidak dapat menguasai kemahiran 3 M. Ini memberi peluang kepada guru-guru untuk membuat tindakan susulan apabila kelemahan murid yang dinilai telah diketahui.
Menilai tahap pencapaian kanak-kanak. Murid yang berkebolehan dan yang lemah dapat dikesan dengan cepat. Pembelajaran murid dapat dipertingkatkan lagi oleh guru dengan mempelbagaikan kaedah dan strategi P & P.

Untuk merancang bilik darjah yang sesuai . Guru – guru akan mengetahui kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai untuk mempertingkatkan keupayaan belajar murid – muridnya  dengan menempatkan mereka mengikut kebolehan .

Mengubahsuaikan kurikulum yang sesuai dengan tahap kebolehan dan keupayaan pencapaian murid – murid . Maklumat ini perlu untuk menentukan sama ada sesuatu program itu inovatif dan mencapai objektif – objektif khusus sebagaimana yang dirancang .

Menginklusifkan murid – murid khas . Selepas ujian dijalankan data – data dikenalpasti bagi menentukan sama ada murid – murid ini sesuai untuk ditempatkan di kelas inklusif atau sebaliknya .

Memberi garis panduan mengikut tahap pencapaian . Dengan itu guru – guru dapat membuat perubahan yang dikehendaki daripada maklumat yang terhasil .

Menganalisa kelemahan dan kekuatan murid . Hasil dapatan penilaian yang diperolehi menjadi perangsang kepada murid – murid untuk berjaya. Murid – murid akan tahu kebolehan dan kelemahan dirinya. Guru pula dapat merancang aktiviti dan kaedah mengajar yang bersesuaian dengan kebolehan murid – murid .

Menentukan sejauh mana objektif pengajaran dapat dicapai oleh murid - murid . Oleh itu , guru – guru dapat merancang aktiviti pengayaan , pemulihan atau memilih perkaedahan yang sesuai dengan tahap pencapaian murid - murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran .

Mengenalpasti masalah murid dalam pembelajaran . Apabila masalah telah dikenal pasti daripada setiap murid , guru – guru dapat membuat tindakan susulan. Tindakan ini sebagai cara menyemak semula faktor – faktor yang mempengaruhi keupayaan pembelajaran murid – murid .

Kepentingan Penilaian Pencapaian
Dapat mengenal pasti keperluan pembelajaran murid – murid . Keputusan ini memberi maklum balas kepada guru – guru dan murid – murid  sama ada guru perlu beralih kepada topik baru atau sebaliknya dan seterusnya mengenal pasti pengajaran pemulihan boleh dilaksanakan .

Dapat membuat keputusan jenis intervensi yang akan dilaksanakan . Keputusan yang diperolehi dapat digunakan oleh guru untuk mengkelaskan kanak – kanak yang mempunyai masalah khas intelek atau emosi . Pemilihan ini juga untuk menentukan  pendidikan lanjutan  dan masalah – masalah praktis yang lain .

Dapat mengatasi masalah fizikal dengan cara mengumpul murid mengikut tahap pencapaian murid tersebut . Ujian menjadi kriteria untuk membahagikan kelas kepada kumpulan – kumpulan kecil untuk mengadakan aktiviti atau pengajaran khas menurut kemampuan masing-masing . Pengkelasan ini dapat mengumpul murid - murid mengikut tahap kebolehannya .

Dapat membina ABM yang bersesuaian dengan tahap murid . Ini kerana guru – guru akan menghadapi pelbagai kebolehan dan latar belakang murid – murid seperti kumpulan kesulitan pembelajaran yang teruk dan ringan di bilik darjah.

Dapat membuat rumusan sama ada objektif pengajaran dan pembelajaran telah tercapai atau belum . Maklumat ini membolehkan guru – guru merancang aktiviti dan memilih jenis pengkaedahan yang sesuai supaya objektif pelajaran yang dikehendaki tercapai. Jika belum guru - guru boleh mengubahsuaikannya mengikut keperluan murid - murid.

PENILAIAN PSIKOLOGI

Definisi Penilaian Psikologi

        Apa yang dimaksudkan dengan Penilaian Psikologi adalah penilaian yang berkaitan secara langsung dengan tingkah laku, mental dan emosi kanak-kanak yang berkeperluan khas. Secara keseluruhannya Penilaian Psikologi ini bermatlamatkanuntuk membantu penilai mengawal tingkah laku kanak-kanak berkeperluan khas dari segi emosi, tingkah laku dan mental mereka. Di sini telah berlaku peningkatan keperluan minda dan pembentukan respon afektif individu. Semua proses ini adalah  menuju ke arah perkembangan psikologi.

Tujuan Penilaian Psikologi

Penilaian Psikologi amatlah diperlukan terutamanya kepada kanak-kanak berkeperluan khas. Golongan kanak-kanak ini memerlukan satu kaedah penilaian yang sesuai dengan keadaan realiti mereka. Kaedah-kaedah yang sering diguna pakai untuk kanak-kanak normal mungkin tidak mampu untuk membantu perkembangan tingkah laku, emosi dan mental mereka. Dari itu pengetahuan dan kemahiran amat penting dikuasai oleh penilai kerana dengan mengenal pasti keperluan khas ini maka guru dan penilai akan dapat mengadakan rawatan dan merancang intervensi yang sesuai.

Dalam proses penilai membuat penilaian psikologi ini, beberapa perkara penting perlu diberi penekanan. Perkara-perkara penting ini adalah bertujuan untuk penlai memahami akan tingkah laku kanak-kanak berkeperluan khas ini. Antara aspek tingkah laku yang  diambil kira adalah seperti pergerakan jasmani, perasaan, sikap, pemikiran dan proses menilai itu sendiri.

Tujuan kedua mengapa Penilaian Psikologi ini dibuat adalah untuk mengawal tingkah laku manusia yang tidak diingini. Secara tidak langsung ini akan membantu             penilai memberi bimbingan akan pembentukan tingkah laku yang tidak baik kepada tingkah laku yang lebih baik.

Akhirnya Penilaian Psikologi ini juga mampu membantu penilai membuat penilaian, menyelidik dan membuat pemerhatian tentang tingkah laku kanak-kanak berkeperluan khas ini.

Kepentingan Penilaian Psikologi
Secara umumnya Penilaian Psikologi ini adalah sangat mustahak terutamanya kepada mereka yang terlibat secara langsung dengan kanak-kanak  berkeperluan khas. Daripada apa yang telah diperhatikan didapati Penilaian Psikologi ini memberikan banyak kegunaan.

Salah satu kegunaannya adalah untuk membantu guru memahami tingkah laku serta perkembangan mental dan emosi kanak-kanak berkeperluan khas. Pemahaman oleh guru-guru terhadap masalah kanak-kanak ini akan membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab membimbing dengan lebih berkesan. Dengan itu kanak-kanak berkeperluan khas ini akan merasa diri mereka dihargai dan merasakan selamat berada di bawah jagaan guru mereka. Kadangkala terdapat juga kes-kes yang mana guru-guru juga merasa tertekan semasa melayani kanak-kanak sebegini. Ini disebabkan guru-guru ini tidak begitu memahami akan tingkah laku, emosi dan mental kanak-kanak ini.

Selain daripada itu, Penilaian Psikologi ini juga boleh digunakan sebagai satu komponen untuk membantu guru-guru menyelaras dan menyesuaikan kaedah mengajar agar bersesuaian dengan kanak-kanak ini. Penyelarasan dan kesesuaian kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan adalah perlu kerana tahap perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak ini sangat jauh ketinggalan di  belakang.

Dengan menguasai kemahiran untuk melaksanakan Penilaian Psikologi ini ianya juga akan dapat membantu guru-guru menyelasaikan masalah tingkah laku, emosi dan mental kanak-kanak berkeperluan khas. Masalah-masalah ini memerlukan cara penyelesaian yang bersesuaian dengan keadaan sebenar kanak-kanak berkeperluan khas.

Selain daripada itu guru-guru yang terlibat seperti guru-guru taska dan guru-guru tadika amat digalakkan untuk memberi perhatian terhadap penilaian psikologi ini. Golongan ini juga seharusnya sedar tentang perkembangan kanak-kanak sebegini. Guru-guru ini juga sebaik-baiknya dapat menguasai kemahiran untuk menilai perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas.

            Selain daripada itu Penilaian Psikologi ini juga amat berguna untuk pengesanan pada peringkat awal. Pengesanan yang boleh dibuat melalui penilaian ini adalah seperti ketidakupayaan murid. Selain itu pengesanan juga akan dapat diperolehi di kalangan kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran. Akhir sekali penilaian pada peringkat awal akan mampu untuk mengesan mereka yang mempunyai risiko mengalami ketidakupayaan.

KULIAH INI DIDEDIKASIKAN KEPADA
PENCINTA PENDIDIKAN KHAS




 

No comments:

Post a Comment