Wednesday 18 January 2012

PERBEZAAN RAS / ETNIK DI DALAM BILIK DARJAH



Dalam bilik darjah yang pelbagai ras/etnik, seperti yang terdapat di Negara kita pelajar membawa budaya mereka tersendiri yang berbeza daripada budaya makro (budaya dominan) yang menjadi budaya formal sekolah. Pelajar berbeza dari segi cara mereka berkomunikasi (verbal dan bukan verbal), nilai-nilai social dan intelektual, cara berinteraksi, gerak badan dan pandangan (world view) mereka yang dipengaruhi oleh budaya masyarakat asal mereka.

            Guru juga membawa budaya mereka tersendiri ke dalam bilik darjah. Jika perbezaan timbul di kalangan pelajar dan antara pelajar dengan guru dari segi cara  mereka berkomunikasi, pandangan, nilai, dan sebagainya maka akan timbul masalah dalam interaksi antara mereka. Jika guru tidak peka kepada kelainan ini, akan timbul salah faham, prejudis dan stereotaip di antara guru dengan pelajar.

            Satu kajian kecil yang dilakukan oleh pelajar saya untuk mengesan sama ada wujud stereotaip di kalangan pelajarnya yang berbilang ras, menunjukkan bahawa pelajar mempunyai stereotaip yang tertentu (selalunya negatif) terhadap ras yang lain dan lebih positif kepada guru yang sama ras dengan mereka. Satu masalah yang timbul dalam bilik darjah berbilang etnik/budaya di mana pelajar dan guru tidak saling memahami antara satu sama lain, ialah ada golongan pelajar yang akan berasa terpinggir dan kurang dapat melibatkan diri dengan aktiviti pembelajaran bilik darjahnya.

            Dalam bilik darjah berbilang budaya beberapa strategi boleh digunakan oleh guru untuk memastikan tiada pelajar yang berasa terpinggir lantaran ras/etnik dan budaya mereka.

  • Integrasi isi (Content)

Guru menggunakan bahan-bahan dan contoh daripada pelbagai budaya untuk menerangkan konsep yang diajar. Pelajar akan berasa bangga dan yakin diri apabila perkara-perkara positif daripada budaya mereka diketengahkan dan dibincang. Ini akan menarik minat pelajar dan mereka akan memberi tumpuan kepada pembelajaran dalam bilik darjah.

  • Mengurangkan prasangka dan stereotaip

Guru membantu pelajar supaya mempunyai sikap positif terhadap kepelbagaian budaya yang terdapat di kalangan rakan-rakan mereka dengan

  • Memberi ganjaran kepada pelajar jika mereka berpandangan positif terhadap ras/kelompok lain.
  • Menambahkan kontak pelbagai latar belakang dengan aktiviti-aktiviti terancang dan dengan mengamalkan pembelajaran koperatif. Dalam kaedah ini murid bekerjasama belajar dalam kelompok kecil yang dianggotai oleh pelajar berbilang kaum,kebolehan dan keistimewaan.

  • Memupuk budaya sekolah yang positif

Amalan-amalan pengelompokan yang membezakan pelajar seperti pengaliran perlu dihentikan. Iklim bekerjasama, sikap guru yang lebih terbuka, staf lain yang tidak mengamalkan perasaan prejudis terhadap pelajar yang bebeza latar belakang akan mewujudkan budaya kesefahaman dan perpaduan.

  • Menggunakan bahan-bahan dan kaedah yang boleh meningkatkan pencapaian akademik semua pelajar

Jika guru mengendalikan kelas mereka supaya lebih selaras dengan budaya, keperluan dan stail pembelajaran murid maka penerimaan murid terhadap pengajarannya akan lebih mudah.

Perbezaan Stail Pembelajaran

Bennet (1990) memetik The National Task Force on Learning Stlye dan Brain Behaviour mendefinisikan stail pembelajaran sebagai pola-pola tingkah laku yang konsisten dalam cara seseorang individu itu belajar. Ianya gabungan tingkah laku kognitif, afektif dan psikologikal yang menjadi asas kepada bagaimana seseorang pembelajar itu melihat sesuatu (persepsi), berinteraksi dan bertindak balas kepada persekitaran pembelajarannya.

            Stail pembelajaran boleh ditakrifkan sebagai gaya pembelajaran seseorang pembelajar itu. Setiap individu mempunyai gaya tersendiri untuk belajar. Manusia berbeza dari segi cara mereka melihat sesuatu (perceive), membuat keputusan dan cara mereka berinteraksi. Ada orang membentuk persepsi berasaskan sensasi, ada yang berasaskan intuisi,cara mereka membuat keputusan juga berbeza, ada yang menggunakan perasaan ada pula yang menggunakan pemikiran logikal, dan dalam berinteraksi ada yang ’introvert’ dan ada yang ’extrovert’. Perbezaan ini wujud disebabkan oleh personaliti setiap individu itu berbeza. Personaliti seseorang itu dipengaruhi oleh pelbagai faktor: budayanya, proses sosialisasi yang dilaluinya dan keadaan fizikal dan kebolehan mentalnya.

            Para guru perlu peka kepada stail pembelajaran pelajarnya supaya setiap pelajar dapat merealisasikan potensinya setinggi mungkin. Bagaimanakah proses pembelajaran berlaku, bagaimanakah seseorang pelajar menyerap maklumat, berfikir dan menilai hasilan maklumat semuanya penting diperhati oleh guru.

            Bennet (1990) menyarankan empat strategi untuk mengenal pasti stail pembelajaran iaitu:’

A)  dimensi stail pembelajaran pergantungan ( field indipendence-depence)

  • mengikut Bannet (1990), secara umum ciri-ciri pembelajar mengikut dimensi pergantungan adalah seperti berikut:

Pembelajar Field-dependent

  • persepsi global
  • lemah dalam menyelesaikan masalah analitikal
  • responsif kepada persekitaran sosial,kemahiran sosial yang tinggi
  • suka menerima sahaja apa yang dipelajari
  • memerlukan motivasi luaran, responsif kepada ganjaran sosial

Pembelajar Field-independent

  • melihat sesuatu dalam bentuk bahagian-bahagian tertentu (discreteparts)
  • pemikiran abstrak dan analitikal
  • individualistik, tidak sensitif kepada emosi orang lain, kemahiran sosial yang lemah.
  • suka belajar bersendirian, pemikiran cara tersendiri untuk belajar
  • bentuk motivasi dalaman, tidak responsif kepada ganjaran sosial

Ada  sesetengah pihak beranggapan bahawa pelajar field-dependent mempunyai IQ yang kurang berbanding pelajar field-independent. Ini adalah satu anggapan yang kurang tepat kerana apa yang berbeza antara kedua-dua jenis pembelajar ini hanyalah stail pembelajaran mereka yang juga mempengaruhi bidang yang diminati. Pembelajar field-independent lebih berminat kepada bidang sains manakala yang field-dependent kepada bidang sastera.

            Castenda dan rakan (1974) dipetik oleh Bennet (1990) telah mencadangkan pendekatan P&P yang sesuai mengikut stail pembelajaran pelajar, seperti berikut:

                        Hubungan Pelajar dengan Rakan Sebaya

Field-dependent

  • suka bekerja dengan orang lain
  • suka membantu orang lain
  • sensitif kepada perasaan orang lain

Field-independent

  • suka bekerja bersendirian
  • suka berlumba-lumba
  • berorientasikan tugas, tidak peka kepada persekitaran sosial semasa          membuat sesuatu tugas

                        Hubungan Sosial dengan Guru

Field-dependent

  • melahirkan perasaan positif kepada guru secara terbuka
  • menjadikan guru sebagai contoh (role model)

Field-independent

  • jarang berhubung dengan guru
  • hubungan dengan guru formal dan terhad kepada tugas yang dilakukan

                        Hubungan Instruksi dengan Guru

Field-dependent

  • memerlukan bimbingan yang jelas dan terperinci
  • memerlukan ganjaran personal daripada guru

Field-independent

  • suka mencuba tanpa dibantu
  • suka cepat menjalankan dan memulakan tugas
  • perlukan ganjaran bukan sosial (non-social rewards)

                        Ciri-ciri Kurikulum

Field-dependent

  • diterangkan dengan jelas objektif pembelajaran dan aspek kurikulum secara keseluruhannya
  • konsep dibentangkan dalam bentuk cerita
  • konsep berkaitan dengan minat dan pengalaman pelajar

Field-independent

  • diterangkan konsep dengan terperinci
  • suka konsep-konsep sains dan matematik

Stail mengajar

Field-dependent

  • mempamerkan kemesraan
  • memberi ganjaran peribadi (personalised rewards)

Field-independent

  • formal dengan pelajar 
  • menumpukan perhatian kepada objektif instruksional, persekitaran sosial kurang ditekankan 

Tingkah Laku Instruksi Guru

Field-dependent

  • meningkatkan keyakinan pelajar, peka kepada pelajar yang memerlukan bantuan 
  • membimbing dengan menunjukkan langkah-langkah sistematik dan jelas  
  • menggalakkan pelajar belajar dengan mencontohi dan modelling 
  • menggalakkan pelajar bekerjasama 
  • perbincangan informal,pelajar diberi peluang mengaitkan konsep kepada pengalaman mereka 

Field-independent

  • menggalakkan pencapaian dan usaha individu 
  • pemudah cara, menggalak pelajar meminta bantuan hanya bila perlu 
  • menggalak pelajar mencuba melalui ’trial and error’ 
  • memberi fokus kepada tugas individu 

Tingkah Laku Berkaitan dengan Kurikulum

Field-dependent

  • fokus global, membantu pelajar memahami secara keseluruhan
  • pendekatan personal, mengaitkan kurikulum kepada pengalaman pelajar
  • kurikulum kemanusiaan (humanised)
  • kurikulum berkaitan dengan kehidupan sehari

Field-independent

  • fokus aspek terperinci kurikulum 
  • fokus kepada fakta, penyelesaian masalah 
  • penekanan kepada matematik dan sains 
  • menekankan pendekatan induktif dan penemuan 

B) Keperluan Pelajar Kepada Struktur

Pelajar berbeza dari segi kebolehan mereka bekerja sendiri, keperluan mereka untuk mendapat penjelasan sebelum melakukan sesuatu tugasan, dan kemampuan mereka melakukan sesuatu itu dalam jangka masa yang tertentu. Ada pelajar yang boleh bekerja sendiri, tidak perlu diberi penjelasan yang terperinci dan boleh menumpukan masa yang lama untuk menyelesaikan sesuatu tugasan itu. Ada pula pelajar yang sebaliknya.

            Hunt (1979) dipetik oleh Bennet (1990) mengenal pasti ciri-ciri pelajar dan tahap keperluan struktur mereka dalam proses pembelajaran. Ada pelajar yang memerlukan lebih banyak struktur, ada yang hanya memerlukannya pada tahap yang sederhana, ada pula yang memerlukan sedikit sahaja struktur dalam proses pembelajran mereka. Mengikut Hunt, pelajar yang memerlukan tunjuk ajar lebih (struktur), lazimnya tidak boleh duduk diam, disruptif, tidak suka berfikir sendiri (suka bertanya), tidak pandai membuat inferensi, tidak yakin kepada diri sendiri, mahu tahu maklumat asas sahaja, bekerja hanya sebab disoal dan hanya memberi jawapan yang singkat kepada soalan yang dimajukan.

            Pelajar yang memerlukan tunjuk ajar pada tahap yang sederhana lazimnya pentingkan mendapat jawapan yang betul, mahu disukai oleh guru, mengikut kata, bekerja sendiri, tidak suka mencuba sesuatu yang baru (takut salah), tidak suka bertanya, tidak suka diganggu dan sering meminta pandangan guru sama ada apa yang dilakukan oleh mereka betul atau tidak dan apakah yang seterusnya perlu dilakukan, tidak berapa imaginatif, dan tidak berapa gemar bekerja berkumpulan.

            Pelajar yang memerlukan sedikit struktur, suka berbincang dan berdebat, suka menyoal dan memberi pendapat, mahu menyelesaikan masalah sendiri, tidak suka dibimbing dengan terperinci, kreatif, dan kurang memerlukan input guru. Mereka boleh berfikir secara abstrak, tidak takut gagal mencuba, boleh memberi tumpuan yang lama kepada sesuatu tugas, lebih mementingkan diri sendiri dan kurang menghiraukan orang lain.

            Para guru perlu menggunakan strategi yang sesuai dengan keperluan pelajar dan pada masa yang sama memupuk sikap yang diingini di kalangan mereka. Yang terlalu bergantung hendaklah dilatih berdikari, yang terlalu mementingkan diri dilatih bekerjasama. Pendekatan guru perlu meningkatkan keyakinan pelajar, estim diri mereka dan kemahiran belajar mereka.

C) Modaliti Perseptual ( Perceptual Modality)

Pelajar juga berbeza dari segi deria yang dominant yang digunakan untuk belajar. Pelajar yang visual belajar dengan lebih baik jika mereka dapat melihat objek atau aktiviti yang ingin dipelajari. Gambar, filem, model, dan demontrasi dapat membantu mereka belajar secara lebih sempurna.

            Ada pelajar lebih selesa membaca apa yang perlu dipelajari, ada pula yang lebih suka mendengar untuk mendapat manfaat daripada pembelajaran. Ada pembelajar kinestik, mereka belajar dengan baik melalui pergerakan-menulis nota atau membuat aktiviti, menggaris nota dan sebagainya. Para guru boleh mengesan cara belajar yang paling berkesan di kalangan pelajar mereka dan cuba menggunakan pendekatan yang memerlukan pelbagai cara dan deria untuk pembelajaran yang berkesan.

D) Inventori Stail Pembelajaran

Dunn dan Dunn (1979)- dipetik oleh Bennet (1990), telah membina inventori stail pembelajaran dengan menunjukkan bagaimana empat rangsangan (stimuli) asas mempengaruhi pembelajaran seseorang itu. Rangsangan asas itu ialah persekitaran (bunyi, cahaya, suhu dan keadaan susunan), emosi (motivasi ), ketekalan (persistence), tanggungjawab dan struktur sosiologi (berkawan, sendiri, berpasangan, berkumpulan, orang dewasa dan kepelbagaian sumber), fisikal (physical, makanan, masa, pergerakan). Inventori ini boleh mengesan keperluan pembelajar dari segi semua aspek asas ini, dengan meminta pembelajar melaporkan aspek-aspek asas yang penting baginya untuk belajar dengan berkesan. Dunn dan Dunn (1979) telah menambah satu lagi rangsangan asas iaitu proses kognitif (analitikal/global, kecenderungan cerebal dan reflektif/impulsif)

Pengaruh Budaya Terhadap Stail Pembelajaran

Satu perkara yang menarik yang perlu diketahui oleh para guru ialah pengaruh budaya terhadap stail pembelajaran. Cara pelajar disosialisasi, terutama sekali yang memupuk nilai-nilai kebebasan atau pergantungan, mempengaruhi tahap pergantungan pelajar dalam proses pembelajarannya. Para pengkaji mendapati bahawa masyarakat tradisional, yang memberi nilai yang tinggi terhadap hubungan kekeluargaan, yang mempunyai kaitan sosial yang ketat, melahirkan pelajar yang lebih dependent sebagai pembelajar.

            Belum ada kajian yang dilakukan untuk mengenal pasti pengaruh budaya terhadap stail pembelajaran di negara kita. Di Amerika Syarikat kaitan sedemikian telah diselidik, melibatkan pelajar kulit hitam, kulit putih, dan beberapa kumpulan minoriti yang lain. Pengetahuan tentang pengaruh budaya terhadap stail pembelajaran pelajar kita yang berlainan ras/etnik boleh membantu para pendidik memahami dan merancang pendekatan dan strategi P&P yang paling berkesan untuk pelajar mereka. Lazimnya guru mengajar mengikut stail pembelajaran mereka sendiri, ini mungkin tidak sesuai dengan keperluan pelajar mereka. Pretasi pelajar akan meningkat jika mereka berasa seronok belajar dan mendapati mereka boleh menggunakan cara mereka tersendiri yang paling berkesan untuk belajar.



Memahami Budaya Sekolah

” apabila budaya menjadi penghalang, hampir mustahil bagi kita untuk melakukan apa jua pun”

                                                                                  (Deal & Kennedy, 1983:4)


Sekolah memerlukan perubahan sistematik yang melibatkan perubahan asas budaya (Dalin,1978). Bab ini akan membincangkan konsep budaya, kepentingan dan jenis budaya sekolah, pengisian budaya sekolah dan norma sekolah berkesan.


Konsep Budaya

Budaya merangkumi nilai, kepercayaan, tingkah laku dan objek-objek material yang meliputi cara hidup sesebuah kelompok manusia tertentu. Budaya ialah manifestasi apakah yang kita fikirkan, apakah yang kita percayai, apakah yang kita nilai, bagaimanakah kita bertindak, apakah yang kita kata dan apakah yang kita ada. Budaya ialah warisan sosial- satu jambatan yang menghubungkan masa kini kepada masa lampau dan yang menjadi petunjuk kepada masa hadapan. Mengikut ahli sosiologi, budaya perlu dilihat dari dua sudut, iaitu budaya bukan material yang mencerminkan aspek intangibel, iaitu idea-idea yang dibentuk oleh ahli dalam masyarakat dan budaya material, iaitu bahan-bahan artifak yang dicipta oleh ahli masyarakat.

            Schein (1985) menganggap intipati budaya ialah andaian-andaian asas dan kepercayaan yang dikongsi oleh warga organisasi. Andaian-andaian dan kepercayaan ini beroperasi secara tidak disedari sehinggakan warga organisasi menganggap amalan dan nilai organisasi sebagai ’biasa sahaja’ dan tidak perlu dipersoal. Aspek inilah yang menyukarkan organisasi berubah kecuali jika andaian-andaian dan kepercayaan yang berakar umbi dan tidak disedari ini dipersoal dan dikaji oleh warga organisasi. Sebagai contoh, sistem pengaliran dan pendekatan sekolah mendisiplinkan pelajar dipercayai yang paling baik dan tidak perlu dipersoal. Selagi kepercayaan tidak berubah, maka sukarlah untuk sekolah berubah. Satu lagi sebab mengapa budaya sukar diubah ialah kerana budaya sukar difahami kerana bersifat implisit dan kita hanya dapat melihat dari aspek luaran melalui tingkah laku amalan-amalan, rituals dan upacara (ceremonies).

            Bagaimanakah kepercayaan dan nilai ini dapat dicerminkan dalam bentuk luaran budaya? Nias dan rakan-rakan (1989) memerihalkan proses ini dengan mengesan lapisan luar budaya itu dahulu. Cuba kita gambarkan proses pembentukan budaya sebagai lapisan bawang yang dipotong memanjang. Mengikut Nias, tingkah laku dipengaruhi oleh norma-norma dan peraturan, yang mencerminkan nilai-nilai ahli kelompok sosial itu. Nilai-nilai warga organisasi tentang apa yang dianggap baik dan penting ini pula merupakan ekspresi kepercayaan mereka yang sukar difahami oleh orang luar kerana nilai itu dikongsi dan difahami oleh kelompok sosial itu sahaja dan jarang disuarakan. Sistem kepercayaan yang dikongsi yang menjadi inti pati budaya sesebuah organisasi inilah yang sukar diubah dan perlu diambil kira jika sesebuah organisasi itu mahu berubah.

Komponen Budaya

Walaupun budaya tiap-tiap masyarakat berbeza, terdapat lima komponen utama budaya yang ada pada tiap-tiap kelompok sosial iaitu simbol, bahasa, nilai, norma dan objek material.

Simbol atau lambang ialah apa sahaja yang mempunyai makna kepada ahli sosial yang berkongsi budaya. Bahasa membolehkan ahli masyarakat berkomunikasi antara satu sama lain dan melakukan transmisi budaya. Nilai dan kepercayaan ialah ’cultur-ally defined standards’ yang menentukan bagaimana manusia menilai kebaikan, kecantikan, keinginan, dan sebagainya yang memberi garis panduan umum untuk hidup dalam masyarakat. Nilai ialah prinsip-prinsip umum yang berasaskan kepercayaan, iaitu apa yang dianggap benar atau tidak oleh manusia. Jika nilai ialah piawaian yang abstrak tentang kebaikan, kepercayaan pula berkaitan sesuatu perkara yang tertentu yang dianggap oleh individu sebagai benar atau tidak. Norma ialah peraturan dan jangkaan yang membimbing tingkah laku sosial. Ada norma yang proskriptif, yang menggariskan apa yang tidak boleh dilakukan dan preskriptif, iaitu menyatakan apa yang perlu dilakukan. Budaya material dan teknologi merupakan artifak dan kaedah yang digunakan dalam kehidupan seharian kelompok sosial itu.

            Ada beberapa konsep lagi berguna, yang boleh digunakan untuk menganalisis budaya sekolah:konflik dan ketidaktekalan nilai, kawalan sosial, budaya ideal dan yang sebenar (real), subbudaya, pertentangan budaya dan perubahan budaya. Kadang-kadang terdapat di sesebuah organisasi nilai yang berkonflik dan tidak tekal. Ini disebabkan pelbagai pihak mempunyai nilai yang berbeza atau pun ada nilai yang sudah lapuk yang tidak sesuai dengan kehendak zaman. Ada nilai yang bercanggah yang mengelirukan ahli sesebuah kelompok itu. Kawalan sosial pula ialah tindakan yang diambil untuk memastikan ahli-ahli kelompok mematuhi norma-norma peraturan masyarakat. Kawalan sosial ini tidak semestinya jelas dilihat, kadang-kadang begitu implisit dan tidak disedari. Cara bilik darjah diatur, jadual waktu dan aktiviti kurikulum di sekolah adalah antara contoh kawalan sosial yang tidak disedari tetapi berkesan dalam mengawal pelajar.

            Subbudaya ialah pola-pola budaya yang berbeza daripada budaya induk. Di sekolah, kehadiran dua kelompok manusia-guru dan pelajar-mendorong pembentukan subbudaya guru dan subbudaya pelajar. Budaya bertentangan (counter culture) pula ialah pola-pola budaya yang bertentangan dengan pola-pola budaya induk.

Budaya Sekolah

Mengikut Reid dan Holly (1987), budaya sekolah ialah hasil daripada cara individu di sekolah berinteraksi, bagaimana mereka berkelakuan antara satu sama lain dan harapan mereka untuk hidup dengan harmoni antara satu sama lain. Budaya sekolah ialah mempunyai pengaruh yang kuat terhadap hidup warganya dari segi kemajuan akademik, sosial dan personal yang dicapai oleh individu di sekolah.

            Budaya sekolah boleh diertikan sebagai cara hidup sekolah yang meliputi segala amalan sekolah di luar dan di dalam bilik darjah, yang mencerminkan nilai, kepercayaan dan norma yang dikongsi bersama oleh warganya, ada yang telah diwarisi turun temurun, ada yang telah dibentuk oleh warga sekolah itu sendiri.

            Nilai dan kepercayaan sekolah, dicerminkan melalui simbol, upacara dan adat istiadat, bentuk komunikasi, sikap warga sekolah, amalan pengajaran dan pembelajaran, peraturan sekolah, keceriaan sekolah, artifak yang ditonjolkan, visi dan misi sekolah, hubungan warga sekolah, dan sebagainya yang menjadi cara hidup sekolah. Dengan kata-kata lain, budaya sekolah mencerminkan cara warga sekolah berfikir dan bertindak. Halpin dan Croft (1962) menganggap budaya sekolah sebagai sahsiah (personality) atau ’the feel of the school’, manakala Rutter dan rakan-rakan (1979) menyifatkannya sebagai etos sekolah yang mencerminkan iklim sosial sesebuah sekolah itu. Mengikut mereka, bukan sahaja cara pelajar dilayan merupakan faktor penting dalam keberkesanan sekolah organisasi sekolah juga penting. Pencapaian pelajar dan kadar kedatangan, akan meningkat jika warga sekolah setuju dengan norma-norma dan nilai-nilai yang ditetapkan dan bekerjasama antara satu sama lain. Masalah disiplin juga berkurangan dalam iklim sosial sekolah yang positif.

Secara zahirnya, kebanyakan sekolah di negara kita nampaknya sama sahaja, penekanankepada akademik, bangunan yang serupa bentuknya, kurikulum dan kemudahan yang sama, guru-guru yang berkelayakan, jadual waktu yang selaras, dan sebagainya, namun terdapat kelainan yang sukar hendak dinyatakan tetapi boleh dirasakan. Jika diselidik dengan lebih mendalam lagi kita akan dapati bahawa elemen budaya inilah yang mewujudkan kelainan itu.

Budaya Formal dan Tak Formal

Budaya sekolah boleh dikategorikan kepada budaya formal sekolah dan budaya tak formal sekolah. Budaya formal sekolah ialah keseluruhan cara hidup di sekolah yang mengarah kepada pencapaian matlamat rasminya. Antara matlamat sekolah ialah sosialisasi golongan muda, memberi kemahiran, dan memupuk perkembangan pelajar secara menyeluruh dari segi intelek,sosial,rohani dan fizikal. Budaya tak formal pula ialah budaya yang dibentuk oleh kelompok pelajar dan guru yang ada subbudaya mereka tersendiri yang mungkin selaras atau bertentangan dengan budaya formal sekolah. Budaya tak formal ini amat penting dalam pembentukan budaya sekolah dan ia juga mencerminkan kurikulum tersirat yang mempengaruhi iklim sekolah.

Subbudaya Sekolah

Budaya sekolah boleh dilihat sebagai penyatuan beberapa subbudaya (Hubberman, 1992). Selain budaya formal sekolah atau budaya dominan yang diterajui oleh pentadbiran sekolah, terdapat subbudaya sekolah yang mewujudkan iklim tak formal sekolah yang begitu penting dalam menentukan keberkesanan sesebuah sekolah itu. Subbudaya murid, guru, pentadbir,pekerja sokongan dan ibu bapa ialah aspek-aspek yang menyumbang kepada sekolah keseluruhannya.

Apakah yang Mempengaruhi Budaya Sekolah?

Budaya sekolah dipengaruhi oleh pelbagai faktor: sejarahnya, warganya, komuniti di kelilingnya, polisi pendidikan, dan juga perubahan dalam ekonomi dan politik negara. Bolehkah budaya sekolah berubah? Budaya sekolah sentiasa berubah, kerana kedinamikannya. Mengikut Bolman dan Deal (1991), budaya merupakan produk dan proses. Sebagai produk, budaya sekolah mengandungi pengetahuan dan kebijaksanaan para pendidik yang lampau. Sebagai proses, budaya sekolah sentiasa diperbaharui dan dibina semula. Oleh sebab budaya juga dibentuk oleh warga sekolah itu sendiri, maka budayanya sentiasa berubah. Pengetua yang baru, program pembaikan sekolah (school improvement),boleh mengubah budaya sekolah. Proses perubahan ini mengambil masa, tetapi sentiasa berlaku.

            Tahap perubahan sekolah bergantung juga kepada jenis norma yang hendak diubah. Rossman dan rakan-rakan (1988) membezakan antara norma ’sacred’ dengan norma ’profane’. Norma ’sacred’ itu ialah peraturan yang tidak boleh dipertikaikan, perlu diterima tanpa soal dan sukar diubah. Norma ’sacred’ ini berasaskan andaian-andaian kepercayaan dan nilai yang telah berakar umbi. Norma ’profane’ pula berasaskan pegangan yang tidak begitu teguh dan lebih senang diubah. Perubahan yang hendak dilakukan di sekolah perlu peka kepada bentuk norma yang hendak diubah, seperti perubahan yang menyentuh kepercayaan agama dan adat misalnya. Sebagai contoh, langkah integrasi pelajar berbilang kaum di universiti dengan menggalakkan mereka duduk sebilik menyentuh norma ’sacred’ yang agak sensitif. Ada orang mengatakan bahawa kaedah guru mengajar juga merupakan norma ’sacred’, sukar hendak diubah kerana telah terpahat kepercayaan bahawa kaedah yang dilaksanakan itulah cara yang terbaik.

Kepentingan Budaya Sekolah

Budaya sekolah mempunyai peranan yang penting dalam mengubah sekolah. Perubahan sekolah sering berlaku dari segi struktur organisasi sekolah dan aspek-aspek teknikal sahaja, manakala perubahan budaya sering tidak diambil kira. Mengikut Rosenholtz (1989) apa yang menjadi isu ialah ciri-ciri sekolah yang disarankan oleh pengkaji sekolah efektif dalam meningkatkan pembelajaran pelajar, sering tidak disertakan dengan rasional yang meyakinkan dan sokongan empirikal tentang bagaimanakah ciri-ciri ini sebenarnya boleh mempengaruhi kehidupan seharian sekolah. Apa yang kurang dikaji ialah proses yang mendorong sekolah menjadi lebih berkesan. Apakah aspek-aspek budaya yang perlu berubah untuk menjadikan sekolah lebih berkesan? Bagaimanakah warga sekolah mengubah cara mereka berfikir dan bertindak? Apakah nilai-nilai yang membentuk matlamat sekolah yang berkesan? Bagaimanakah nilai-nilai ini dikongsi bersama? Bagaimanakah sekolah bertindak untuk memastikan iklim bekerjasama, prihatin dan kesaksamaan dibentuk melalui teknologi ’core’ dan amalannya?

            Program-program menjayakan sekolah juga tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada budaya sekolah. Persoalan-persoalan di atas perlu diberi perhatian. Mengikut Deal & Kennedy (1983), jika budaya sekolah tidak membenarkannya, adalah mustahil untuk kita membuat sesuatu apa pun. Jadi apa sahaja usaha untuk mengubah sekolah, tetapi tidak mengambil kira nilai dan sistem kepercayaan sekolah,akan menghadapi kegagalan.

            Budaya sekolah mempunyai pengaruh yang besar dalam menentukan kualiti peluang yang disediakan untuk setiap pelajar (Dalin dan rakan-rakan 1993). Sekolah secara keseluruhan dan iklim bilik darjah mempunyai pengaruh yang kuat dalam proses pengajaran dan pembelajaran (rutter dan rakan-rakan 1979).

  • Setiap anggota dalam sesuatu organisasi perlu peka dan memahami budaya organisasi tempat mereka berada. Ini disebabkan mereka bukan sahaja perlu memahami nilai-nilai organisasi itu, tetapi mereka juga menjadi pembentuk budaya itu. Pengetua, guru, dan pelajar memainkan peranan penting untuk membentuk budaya sekolah dan memberi sumbangan terhadap pembentukan budaya yang positif. Selain itu, dengan memahami budaya sekolah juga membolehkan guru memikirkan unsur-unsur yang mempengaruhi budaya sekolah dengan cara yang kritis, dan menentukan sistem kepercayaan terhadap pendidikan anak-anak, proses pengajaran dan pembelajaran yang mempengaruhi amalan di sekolah.
  • Budaya sesebuah organisasi mempengaruhi produktivitinya. Dalam bukunya Theory Z, William Ouchi (1982) mengatakan bahawa badan-badan korporat Jepun lebih maju daripada badan-badan korporat Amerika disebabkan oleh budaya. Begitu juga pendapat Terrence Deal dan Alan Kennedy (1982) dalam buku mereka ’Corporate Culture’
  • Satu lagi faktor yang perlu diberi perhatian  ialah sesuatu pembaharuan yang ingin diperkenalkan oleh sesebuah organisasi itu perlu mengambil kira budaya organisasi ini terlebih dahulu. Soalan-soalan yang perlu dikemukakan ialah apakah sistem kepercayaan yang berakar umbi di kalangan anggota dalam organisasi itu yang mungkin menjadi penghalang kepada inovasi yang hendak diperkenalkan? Bagaimanakah nilai-nilai baru diterapkan? Sehingga kini sekolah kita telah mengalami berbagai-bagai inovasi dari segi kurikulum ( KBSR, KBSM), kaedah mengajar dan sebagainya. Persoalannya ialah adakah inovasi yang telah diperkenalkan itu berjaya sepenuhnya? Apakah peranan budaya dalam menjayakan pembaharuan ini?
  • Kepekaan terhadap budaya yang sedia ada amat penting bagi seorang pengetua yang baru bertugas di sesebuah sekolah. Beliau akan mengalami kesukaran untuk menjalankan tugas dan membuat pembaharuan jika beliau tidak memahami budaya sekolah, tidak memahami apa-apa yang dinilai dan yang dianggap penting oleh guru dan ibu bapa dan pelajar di sekolah itu.
  • Memahami budaya sekolah boleh membantu pengetua, guru dan murid mengenal pasti amalan yang tidak produktif dan budaya yang negatif supaya dapat dibentuk budaya sekolah yang lebih positif dan produktif. Perubahan pendidikan hanya boleh berlaku jika guru menukar sikap, cara berfikir dan sistem kepercayaan mereka.
  • Sekolah juga mempunyai subbudaya yang dibentuk oleh pelajar dan guru. Budaya ini dipanggil budaya tak formal pelajar dan guru. Seorang guru perlu peka kepada wujudnya budaya pelajar supaya mereka lebih memahami pelajar dan menjadi penggerak kepada pembentukan budaya pelajar yang lebih produktif. Begitu juga, apabila guru sedar akan nilai-nilai yang menjadi pendorong norma-norma dan cara mereka berfikir,mereka boleh mengubah budaya kerja mereka, cara mereka berfikir, dan mengubah nilai-nilai mereka untuk mencapai perubahan yang diingini.

Kesaksamaan

Sekolah kita secara tradisi membuka pintunya kepada semua jenis pelajar, dari pelbagai latar belakang sosioekonomi, lokasi dan budaya. Sekarang ada juga sekolah yang memberi peluang pendidikan kepada kanak-kanak istimewa, sama ada dalam kelas khas berasingan ataupun bersama pelajar biasa dalam kelas biasa, iaitu pendidikan inklusif bagi kanak-kanak yang tidak begitu serius kecacatannya. Mereka ini bilangannya kecil sahaja, dan ditakrif sebagai pelajar berisiko. Namun ada pelajar kita yang bilangannya besar juga, yang normal tetapi boleh ditakrif sebagai pelajar berisiko. Pelajar sedemikian kebanyakannya datang dari rumah tangga yang pincang, mereka sering ponteng sekolah, mempunyai pretasi akademik yang rendah dan mempunyai risiko yang tinggi untuk cicir daripada sekolah (Sharifah,1995). Pelajar luar bandar, miskin dan berisiko didefinisi sebagai kurang beruntung dalam perbincangan ini. Dalam bab ini akan ditinjau kepercayaan umum mengenai mengapa pelajar kurang beruntung gagal di sekolah, bagaimana mereka perlu dididik dan implikasi tidak ketaksamaan kepada ekonomi negara. Dalam bab 7,8 dan 9 akan dibincangkan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh sekolah untuk menyamaratakan peluang pendidikan.

            Masyarakat mempunyai tanggungjawab memberi semua pelajar peluang pendidikan yang sama. Kita percaya bahawa setiap pelajar perlu diberi peluang memasuki sekolah, mendapat kurikulum yang sama, dinilai melalui peperiksaan umum yang piawai. Konsep kesaksamaan peluang pendidikan ini termaktub dalam Akta Pendidikan kita. Namun persoalannya ialah adakah ini cukup untuk menjamin kesaksamaan?

            Walaupun komitmen kita terhadap kesaksamaan ini tinggi, di dapati bahawa sekolah tidak memberi khidmat yang sempurna kepada sebilangan pelajar terutama sekali yang kurang beruntung. Pelajar sedemikian tercicir awal dari sekolah, ataupun masih bersekolah tetapi cicir dari segi keterlibatan mereka dengan pembelajaran dan aktiviti sekolah yang lain. Pelajar ini mempunyai keterlibatan pembelajaran (educational enggament) dan keahlian sosial ( social membership) yang rendah sekali (Wehlage dan rakan-rakan,1988). Mengapakah ini terjadi? Kita perlu persoal, apakah kepercayaan dan amalan kita selama ini yang mungkin menyebabkan pelajar ini terpinggir dan tidak mampu diberi pendidikan sebaiknya? Masalah pendidikan kanak-kanak kurang beruntung perlu diberi perhatian yang serius jika sekolah benar-benar mahu menjadi berkesan untuk semua. Perhatian yang serius ini semakin meruncing sekarang kerana kita akan melangkah ke alaf baru- dalam dunia yang serba canggih ini. Maka demi kepentingan ekonomi, warga kerja yang berpendidikan dan berkemahiran amat diperlukan. Dari segi moral kita bertanggungjawab memberi pendidikan yang berkualiti untuk semua.

Kepercayaan Kini Terhadap Kesaksamaan

Kepercayaan kini mengenai kesaksamaan peluang pendidikan perlu dipersoal. Kita tidak bolehberpegang kepada konsep kesaksamaan yang sekian lama kita pegang. Selama ini kita percaya bahawa kesaksamaan peluang sudah wujud jika:

  • Semua pelajar tidak kira latar belakang lokasi dan sosioekonomi mendapat peluang masuk ke sekolah. Pelajar yang pandai, tidak kira latar belakangnya, akan berpeluang untuk berjaya. Walaupun ada kebenaran pandangan ini, peluang yang sama untuk memasuki sekolah tidak menjamin bahawa semua pelajar akan mendapat pendidikan yang berkualiti yang benar-benar dapat meningkatkan potensi mereka.
  • Pelajar mendapat pendidikan asas yang sempurna dan mengambil bidang yang sesuai dengan mereka; ada yang akan bekerja menggunakan ’otak’, ada yang akan menggunakan ’tangan’. Sekolah membuat jangkaan bahawa kejayaan pelajar akan berbentuk ’bell curve’, hanya segelintir sahaja pelajar yang berjaya, kebanyakannya hanya sederhana atau gagal. Pandangan ini merugikan dan mengehadkan jangkaan tinggi terhadap pelajar terutama sekali yang dilabel pelajar ’lemah’.
  • Pelajar-pelajar pelbagai kebolehan dialirkan ke kelas-kelas yang berbeza mengikut kebolehan mereka supaya mereka dapat mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap masing-masing. Ini bermakna, kaedah pengajaran dan pembelajarannya sama seperti pelajar berkebolehan tetapi kadarnya (pace) yang lebih perlahan (slow). Pemikiran ini juga merugikan dan menghasilkan kesan yang negatif terhadap pelajar, terutama yang dialir kepada aliran lemah.

Kepercayaan Mengenai Mengapa Pelajar Kurang Beruntung, Gagal di Sekolah

Kita dapati bahawa kebanyakan pelajar kita yang datangnya dari keluarga yang kurang beruntung dan yang berisiko tidak berjaya di sekolah. Kepercayaan sekolah mengenai sebab-sebabnya ini ialah:

  • Pelajar-pelajar miskin mempunyai IQ yang rendah kerana faktor genetik. Mereka sememangnya mewarisinya ( Jensen, 1973). Ini berkaitan dengan kepercayaan bahawa kecerdasan otak boleh diukur dengan tepat dan ia adalah tidak berubah.
  • Pelajar kurang beruntung gagal disekolah disebabkan kekurangan yang terdapat di persekitaran rumah tangga mereka, famili yang tidak teratur, pola penjagaan anak yang tidak berkesan, nilai dan bahasa yang lemah dan konsep kendiri yang rendah. Teori kekurangan budaya (cultural deprivation theory) menganggap persekitaran anak-anak kurang beruntung sebagai ’kosong’ (vacuum) dari segi stimuli atau rangsangan yang penting bagi pembelajaran.

Sistem kepercayaan sekolah dan guru mengenai konsep kesaksamaan peluang pendidikan dan penjelasan mengenai mengapa kanak-kanak kurang beruntung gagal di sekolah mempunyai implikasi yang serius kepada amalan sekolah. Pertama, kepercayaan hanya segelintir pelajar sahaja akan berjaya dan selainnya hanya sederhana atau gagal menghadkan jangkaan guru dan sekolah terhadap majoriti pelajarnya terutama sekali kepada pelajar yang mempunyai latar belakang kurang beruntung. Kajian sekolah efektif menunjukkan bahawa jangkaan yang tinggi terhadap semua pelajar adalah penting bagi meningkatkan keberkesanan sekolah.
            Kedua, kepercayaan bahawa kecerdasan seseorang itu diwarisi, boleh diukur dan tidak boleh berubah akan mendorong guru menyalahkan kebolehan semula jadi pelajar mereka sebagai penyebab kegagalan. Di Amerika Syarikat terlalu ramai pelajar kulit hitam dilabel sebagai rencat akal ( mentally retarded) oleh guru mereka sedangkan mereka adalah pelajar normal yang menghadapi masalah pembelajaran. Saya pernah bertanya guru-guru di sebuah sekolah luar bandar mengenai pretasi pelajar mereka. Saya berasa hairan apabila mereka menyatakan bahawa terdapat ramai pelajar terencat akal dalam bilik darjah mereka.

            Ketiga, memang tidak boleh dinafikan bahawa persekitaran rumah tangga mempunyai pengaruh kuat kepada pretasi akademik pelajar. Namun kepercayaan bahawa kanak-kanak kurang beruntung gagal disebabkan IQ dan latar belakang mereka boleh menimbulkan keadaan di mana guru mempunyai jangkaan yang rendah terhadap pelajar ini dan merasakan segala usaha mereka tidak akan berjaya. Guru akan cepat putus asa kerana mereka menganggap kegagalan pelajar ini tidak boleh diatasi oleh mereka. Ini akan mewujudkan keadaan telahan terkabul kendiri (self-fulfilling prophecy). Pelajar yang sekian lama dianggap ’tidak boleh belajar dan diajar’ oleh guru-guru mereka akan mempercayai bahawa mereka memang lemah dan tidak akan mencuba lagi. Kepercayaan ini juga akan mendorong guru menasihati pelajar ini memilih jurusan yang mudah dan lebih ’realistik’ berasaskan jangkaan guru terhadap ’kebolehan’ mereka.

            Satu lagi kesannya ialah guru yang mempercayai bahawa persekitaran rumah tangga pelajar kurang beruntung tidak boleh menyumbang kepada perkembangan mental dan sosial mereka, mungkin tidak akan mencari kekuatan dan menggunakan aspek positif yang ada pada pelajar mereka ini. Sebenarnya terdapat banyak kekuatan yang sedia ada di kalangan pelajar kurang beruntung; ciri-ciri keberanian, tahan lasak, dan kuat semangat yang ada di kalangan mereka boleh digunakan oleh guru secara positif untuk meningkatkan konsep kendiri pelajar-pelajar ini.

Kepercayaan Mengenai Cara Menangani Masalah Pelajar Lemah

Kepercayaan guru dan sekolah mengenai strategi P&P yang sesuai untuk membantu pelajar lemah juga tidak berjaya meningkatkan pretasi mereka. Mengikut Hopfenberg dan rakan-rakan (1990),strategi selama ini digunakan oleh sekolah lebih menggagalkan pelajar lemah, bukan membantu mereka. Pada pendapat mereka, strategi yang lazim digunakan untuk pelajar lemah melalui program kompensatori, iaitu pelajar ini dikehendaki mengikut kelas-kelas pemulihan atau pengajaran bilik darjah yang disesuaikan untuk mereka, kurang berjaya membantu pelajar ini. Strategi ini diharapkan dapat meningkatkan pretasi akademik pelajar ini, tetapi sebaliknya aktiviti-aktiviti pembelajaran ini melahirkan kesan negatif seperti :

  • Merendahkan jangkaan guru terhadap murid yang dilabel sebagai berstatus rendah.
  • Melambatkan pembelajaran pelajar kerana program kompensatori dan kelas pemulihan menggunakan kaedah mengajar yang ’slow paced’. Ini menyebabkan pelajar ini ketinggalan bebanding dengan murid-murid lain dalam kelas (the main stream).
  • Mendedahkan pelajar kepada kaedah yang tidak memberangsangkan melalui pengulangan fakta dan latih tubi.
  • Kurang menggunakan potensi yang ada di kalangan guru, ibu bapa dan sumber komuniti.

Membantu Pelajar Belajar

Bagaimanakah kita hendak membantu semua pelajar belajar? Ini adalah satu persoalan penting, dan akan dibincangkan secara ringkas di sini. Pertama, pelajar perlu dibantu dengan guru memberi perhatian kepada pembentukan konsep kendiri mereka. Konsep kendiri yang positif berkaitan rapat dengan pencapaian pelajar. Namun kajian menunjukkan bahawa konsep kendiri dan keyakinan pelajar terutama sekali di kalangan mereka yang kurang berkebolehan, terjejas saban hari di sekolah. Semakin lama mereka berada di sekolah semakin merosot konsep kendiri mereka.

            Barth (1991) melaporkan dapatan sebuah kajian yang menunjukkan bahawa 80 peratus murid Tahun Satu mempunyai konsep kendiri yang positif, tetapi apabila di Tahun Enam, hanya 20 peratus berasa demikian, bilangan ini menurun kepada 5 peratus di peringkat sekolah menengah. Nampaknya pengalaman persekolahan bukan perlu bukan meningkatkan konsep kendiri pelajar tetapi sebaliknya merendahkannya lagi. Sekolah perlu menjadi tempat kanak-kanak mengalami kejayaan, bukan kegagalan, dan segala usaha perlu diarahkan untuk memastikan amalan dan budaya sekolah membantu pelajar berjaya.

            Kedua, ialah kemahiran guru dalam mengurus dan mengajar, ini termasuk perancangan pengajaran yang efektif, penggunaan masa yang efektif dan sebagainya. Ketiga, guru perlu menggunakan pelbagai kaedah untuk merangsang pelajarnya yang mempunyai keperluan dan minat yang berbeza. Semua ini akan dibincangkan secara lanjut apabila kita membincangkan pendekatan Bestari kelak.

Mengubah Cara Berfikir dan Bertindak

Sekolah yang berkesan ialah sekolah yang mampu menyamaratakan peluang pendidikan dengan memberi peluang yang sama kepada semua pelajarnya tidak kira latar belakang, mendapatkan pendidikan yang berkualiti. Sekolah yang berkesan memberi peluang kepada pelajar dan juga guru mencapai potensi merekadengan sepenuhnya. Menyamaratakan peluang pendidikan sememangnya menjadi satu agenda utama sistem pendidikan kita; banyak yang telah diusahakan oleh pihak yang bertanggungjawab, namun banyak lagi perlu dilakukan.

            Pendekatan yang digunakan oleh pihak Kementerian Pendidikan untuk menyamaratakan peluang pendidikan, selama ini kurang menyeluruh dan lebih tertumpu kepada bantuan luaran seperti bantuan kewangan dan bahan kepada anak-anak miskin. Usaha-usaha mencapainya melalui proses P&P dalam bilik darjah dan amalan-amalan sekolah yang mungkin menyebabkan anak-anak kurang beruntung, ketinggalan dan tersisih, kurang diberi tekanan. Bantuan yang diberikan lazimnya berbentuk kewangan (biasiswa), bahan-bahan (pinjaman buku teks) dan tempat tinggal di asrama penuh.

            Bantuan-bantuan ini sememangnya memainkan peranan yang besar dalam memberi peluang kepada anak-anak kurang beruntung bersekolah dan mencapai kecemerlangan dari segi akademik. Sebagai contoh, satu kajian yang dijalankan oleh Noran & Syarifah (1989) mendapati bahawa pelajar luar bandar yang mendapat keputusan cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan seterusnya bersekolah di asrama penuh mencapai keputusan yang lebih cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) jika dibandingkan dengan pelajar yang juga cemerlang tetapi belajar di sekolah biasa. Namun kebanyakan pelajar kurang beruntung masih ketinggalan.

Di peringkat sekolah pula bantuan yang diberi berbentuk ’ad hoc’, iaitu tiada perancangan yang berterusan diberi kepada usaha-usaha menyamaratakan peluang pendidikan. Bantuan lazimnya berbentuk kutipan derma untuk pelajar yang memerlukannya, program Amalan Makanan Pemakanan (AMP) dan sebagainya. Sekolah juga sering mengadakan kelas tambahan dan kelas pemulihan untuk membantu pelajar-pelajar lemah tetapi kelas-kelas ini kurang diminati oleh pelajar yang menjadi sasaran. Ini disebabkan kelas-kelas ini mungkin membosankan dan tidak bermakna kepada mereka. Banyak kajian menyatakan bahawa pendekatan pengajaran dan pembelajaran bagi kanak-kanak lemah sering tidak sesuai dengan keperluan mereka.

Pelajar kita mempunyai keperluan yang pelbagai, kerana mereka pelbagai latar belakang. Dalam bilik darjah kita kini selain pelajar biasa, terdapat pelajar yang mempunyai keperluan khas (special needs). Golongan pelajar yang mempunyai keperluan khas ialah pelajar istimewa yang kurang upaya (disabled), pelajar cerdas pintar (gifted/talented), pelajar berisiko (pelajar cicir,miskin,bermasalah dadah) dan pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran dan tingkah laku.

Untuk menjadikan sekolah lebih berkesan kepada pelajar dan untuk menyamaratakan peluang pendidikan, keperluan khas pelajar ini perlu diambil kira. Sekolah kini tidak memberi layanan yang sempurna untuk mereka. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar cerdas/pintar dan pelajar berisiko tidak berbeza daripada pendekatan bagi pelajar biasa. Pendidikan kanak-kanak kurang upaya juga perlu dipertingkatkan.

Bilik darjah kita juga mempunyai pelajar pelbagai kelompok etnik,jantina dan budaya yang mempengaruhi cara mereka bertingkah laku, berkomunikasi dan memahami dunia di sekeliling mereka. Jika guru tidak peka kepada perbezaan ini, ada golongan yang mungkin akan terasa tersisih.

Perbincangan di atas jelas menunjukkan bahawa usaha-usaha menyamaratakan peluang pendidikan perlulah lebih menyeluruh, sistematik dan peka kepada keperluan semua pelajar. Dari itu perancangan yang lebih sistematik dan meyeluruh yang melibatkan semua pihak pada semua peringkat diperlukan. Cara guru dan sekolah berfikir tentang kesaksamaan dan bertindak ke arah mencapainya perlu berubah. Usaha untuk menyamaratakan peluang pendidikan hendaklah berlaku di dalam bilik darjah melalui proses P&P dan layanan guru, berlaku di peringkat sekolah dengan mempersoal amalan seperti pengaliran, dan di peringkat Kementerian Pendidikan dengan memikirkan kurikulum yang lebih sesuai dan yang bermakna kepada pelajar. Kemudahan yang sama rata untuk sekolah-sekolah yang kurang beruntung juga perlu diberi perhatian. Pada peringkat komuniti, penglibatan ibu bapa dan rakan kongsi yang lain perlu dipertingkatkan.

Dalam bab 6 telah dibincangkan teknologi ’core’ kini yang memberi implikasi kepada usaha kita menyamaratakan peluang pendidikan. Sebagai contoh, pengaliran sebagai satu strategi dalam organisasi pengajaran dan pembelajaran didapati mewujudkan stratifikasa sosial di sekolah, kepercayaan sekolah dan guru mengenai mengapa pelajar gagal di sekolah tidak membantu dalam mewujudkan kesaksamaan. Sekolah perlu berubah dari segi bagaimana mereka berfikir dan bertindak supaya kesaksamaan peluang pendidikan dapat dicapai dengan sempurna.

Beberapa perkara asas dan strategi yang perlu diambil dalam usaha menyamaratakan peluang pendidikan akan dibincangkan. Dalam bab ini akan dibincangkan keperluan kita mengubah cara kita berfikir dan bertindak, dalam bab 8 akan dibincangkan pendidikan berbilang budaya (multicultural education) dan bab 9, pendidikan luar bandar ditonjolkan sebagai satu aspek penting yang perlu diberi perhatian kerana majoriti pelajar sekolah rendah kita belajar di sekolah yang di label sebagai Sekolah Luar Bandar.

Mengubah Cara Berfikir

Guru dan pentadbir sekolah perlu mengubah cara mereka berfikir dan ini hanya berlaku apabila mereka bersedia berubah dan dapat melihat kejayaan dengan perubahan itu. Ada beberapa perkara asas yang perlu diambil kira jika kita benar-benar mahu berubah terutama sekali dalam menghadapi masalah pelajar yang rendah kebolehan akademiknya. Kita perlu percaya bahawa :

  • Semua orang mempunyai bakat tersendiri
  • Semua orang boleh belajar

Terlalu ramai pelajar berasa terpinggir di sekolah terutama sekali mereka yang lemah dari segi akademik. Dua perkara pokok menyebabkan pelajar ini terpinggir. Pertama ialah pemikiran bahawa ukuran kejayaan bagi pelajar ialah dari aspek akademik semata-mata, maka yang lemah berasa terpinggir. Kedua, konsep IQ yang difahami oleh guru dan sekolah tidak tepat, IQ dianggap tidak boleh berubah dan berbentuk ’normal curve’, iaitu hanya sedikit sahaja manusia yang mempunyai IQ tinggi, selainnya sederhana dan rendah, maka guru menganggap pelajar lemah ini tidak boleh dibantu. Budaya membeza-bezakan begitu lumrah di sekolah, begitu juga dengan sikap putus asa guru dan pelajar lemah terhadap kebolehan mereka.

Semua Orang Ada Bakat Tersendiri

Kini terdapat pemikiran baru yang mencabar cara guru berfikir tentang pelajar ’lemah’. Pertama ialah konsep kecerdasan yang diperluaskan kepada tujuh jenis kecerdasan yang berbeza dan kedua, potensi IQ seseorang itu boleh meningkat jika ianya didedahkan kepada persekitaran dan rangsangan yang kaya yang boleh merangsang pertumbuhan sel-sel dalam otaknya. Dengan kata lain, semua orang boleh belajar jika otak mereka sentiasa dirangsang dari kecil lagi, dan sekolah memainkan peranan besar dalam proses ini. Howard Gardner, seorang profesor dari Harvad School of Education, mengklafikasikan tujuh jenis kecerdasan (intellegence) yang terdapat di kalangan manusia:

  • Kecerdasan analitik (logikal/mathematical) yang diukur dengan ujian IQ dan ujian-ujian piawaian yang biasa.
  • Kecerdasan pola (visual/spatial), iaitu kemampuan mencari dan membentuk pola-pola dalam sesuatu perkara. Ahli matematik, pelukis, dan pengacara komputer mempunyai kecerdasan yang tinggi dalam aspek ini. Namun ada di antara mereka yang mungkin tidak dapat keputusan peperiksaan yang cemerlang.
  • Kecerdasn muzik (musical/rhythmic). Kecerdasan ini dimiliki oleh pemuzik, penyanyi pop yang mungkin cerdas dalam aspek analitikal dan mungkin tidak.
  • Kecerdasan fizikal (body kinestik), dipunyai oleh ahli sukan yang tidak semestinya mempunyai bakat dalam bidang lain.
  • Kecerdasan verbal/linguistik-terdapat di kalangan pelajar yang cerdas dalam bahasa, pertuturan dan penulisan.
  • Kecerdasan intrapersonal-mereka yang mempunyai kebolehan mengawal diri sendiri,tenang dan mempunyai EQ (Emotional Quotient) yang tinggi.
  • Kecerdasan inter-personal-kebolehan seseorang itu bergaul dan berkomunikasi dengan baik. Kebolehan ini sebenarnya diperlukan oleh semua orang tetapi tidak semua orang ada kebolehan ini. Ianya perlu dilatih dan dipupuk.

Maka kita lihat terdapat pelbagai bakat lain selain kecerdasan analitikal yang diperlukan dalam masyarakat dan boleh dipupuk oleh sekolah supaya pelajar dapat menyumbang kepada masyarakat. Jika setiap pelajar digalak mengembangkan bakatnya maka tiada pelajar akan berasa terpinggir. Guru boleh merancangkan pengajaran dan pembelajaran berasaskan kekuatan pelajar yang berasaskan minat dan kebolehan mereka. Sekolah Bestari ada mencadangkan bagaimana kecerdasan ini boleh digunakan oleh guru sebagai asas merancang proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjahnya.

Semua Orang Boleh Belajar

Guru mengajar pelajar secara berkelompok, dan menghadapi pelajar yang pelbagai latar belakang, kebolehan dan budaya. Ada pelajar yang dipercayai oleh guru boleh belajar, ada yang dipercayai tidak boleh belajar bagaimana cara pun. Namun kajian menunjukkan bahawa semua pelajar, kecuali yang mengalami kecacatan otak yang serius, boleh belajar dan rangsangan otak ini perlu berlaku dari awal lagi. Kini ditambah dua lagi iaitu kecerdasan ’nature’ dan ’keagamaan’.

Para pengkaji yang mengkaji perkembangan otak kanak-kanak telah menunjukkan bahawa setiap kanak-kanak yang dilahirkan untuk belajar dan kita perlu merangsangkan ke arah itu. Mereka mendapati bahawa otak manusia berkembang paling cepat dalam lingkungan umur 1-6 tahun. Kajian-kajian juga menunjukkan bahawa jika kita mahu memperkembang potensi kecerdasan seseorang itu ke tahap maksimum, kita perlu bermula sebelum umur tiga tahun kerana sel-sel otak dan perkaitan antaranya boleh ditentukan oleh pengalaman yang positif dari awal lagi.

            Walaupun pembentukan otak secara kasar, ditentukan oleh gen, perkaitan-perkaitan sel otak ditentukan oleh pengalaman seseorang bayi itu. Berasaskan prinsip bahawa otak manusia boleh dirawat dan pembelajaran boleh  berlaku, kanak-kanak yang cacat akal boleh dibantu belajar. Prinsip ini dan kaedah yang digunakan boleh membantu ibu bapa melipatgandakan IQ anak-anak mereka melalui pelbagai rangsangan-melihat, mendengar, merasa, menyentuh dan menghidu.

            Maka berdasarkan kepercayaan yang dibincangkan di atas tidak sepatutnya ada dalam bilik darjah kita pelajar yang dilabel tidak boleh diajar dan tidak boleh belajar. Strategi pengajaran bagi kanak-kanak lemah perlulah lebih meningkatkan kebolehan mereka, bukan meninggalkan mereka jauh ke belakang. Kelas pemulihan yang menggunakan strategi latih-tubi yang tidak memberangsangkan dan penempatan pelajar lemah dalam kelas yang berbeza, tidak membantu pelajar lemah meningkatkan IQ mereka. Maka guru perlu berpegang pada prinsip semua pelajar boleh belajar dan mencari strategi yang paling sesuai untuk memberangsangkan minda pelajar mereka.

Ada Cara Lain Selain Pengaliran

Dalam bab 5 kita lihat bagaimana sistem pengaliran sebenarnya tidak berfaedah kepada pelajar terutama sekali pelajar lemah. Sekolah kita masih mengamalkan pengaliran kerana strategi ini dianggap sebagai paling mudah dan pratikal dari segi pengurusan pengajaran dan pembelajaran pelajar yang beraneka kebolehan. Strategi ini boleh dipertahankan jika saiz bilik darjah kecil dan guru dan budaya sekolah keseluruhannya positif terhadap kelas lemah ini. Oleh kerana terlalu ramai pelajar berasa terpinggir dengan strategi ini, sekolah perlu memikirkan strategi yang lain bagi menangani masalah mengajar pelajar yang beraneka kebolehan ini.

Kaedah Alternatif

Mengikut Slavin (1987:71), kelompok kebolehan yang berfaedah kepada murid mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Murid berada di kelas ’heterogeneous’ hampir sepanjang hari tetapi di kelompok semula mengikut pretasi dalam mata pelajaran tertentu, umpamanya matematik atau bacaan yang memerlukan kelas yang ’homogeneous’
  • Pengelompokan mengurangkan heterogeniti dalam kemahiran yang diajar. Ini bermakna, saiz kelompok kebolehan ini kecil dan pelajar mempunyai tahap pencapaian yang sama dalam kemahiran yang hendak dipelajari.
  • Penempatan kepada kelompok adalah fleksibel dan kerap ditukar. Tidak seperti pengaliran, di mana pelajar hanya ditukarkan pada awal tahun, keahlian dalam kelompok untuk mata pelajaran tertentu sentiasa berubah mengikut pretasi pelajar. Cara ini akan menghindarkan terbentuknya budaya anti sekolah di kalangan pelajar yang lemah.

Satu daripada contoh kaedah alternatif yang berasaskan cadangan Slavin ialah kaedah Joplin Plan. Dalam strategi ini, murid berada di bilik darjah ’hetergeneous’ sepanjang hari dan dikelompokkan semula untuk matematik dan bacaan. Kelompok kebolehan murid ini tidak mengikut umur tetapi mengikut pretasi dalam mata pelajaran tertentu. Ini membantu guru kerana guru dapat mengajar kelompok yang homogeneous dalam mata pelajaran tertentu. Guru boleh mengajar mengikut tahap dan kesediaan murid, dengan menggunakan kaedah pengkayaan, bukan pemulihan.

Pendidikan Berbilang Budaya

Bilik darjah kita mengandungi pelajar yang pelbagai latar belakang dan ini mempengaruhi tingkah laku mereka. Bukan sahaja pelajar berbeza dari segi individu, seperti dari segi jantina, keistimewaan, stail pembelajaran yang tertentu, tetapi mereka juga berbeza dari segi nilai, sikap, tingkah laku dan kebolehan yang mungkin dipengaruhi oleh latar belakang dan budaya mereka.

Para guru dan sekolah perlu peka kepada perbezaan ini supaya tiada pelajar daripada golongan tertentu berasa tersisih disebabkan kurang pekanya pihak sekolah dan guru terhadap keperluan pelajar mereka dan kurang fahamnya guru terhadap budaya yang dibawa oleh pelajar yang mempengaruhi cara mereka berkomunikasi dan memahami dunia di sekeliling mereka.

Pendidikan bernilang budaya ialah satu pendekatan pendidikan yang diusahakan untuk mencapai kesaksamaan peluang dalam pendidikan dengan mengambil kira keperluan pelajar yang berbeza dari segi individu dan budaya. Pendekatan ini memberi perhatian kepada perubahan yang perlu dilakukan oleh sekolah untuk memastikan semua pelajar diberi peluang untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya tidak kira latar belakang mereka.

Mengapakah Pendekatan ini Perlu?

Pertama,pelajar berbilang latar dan budaya.keperluan pendidikan berbilang budaya ini amat meruncing di negara kita. Pelajar-pelajar kita datang daripada latar belakang dan budaya yang berbeza. Oleh itu guru perlu peka kepada kepelbagaian ini supaya tiada kelompok merasakan diri mereka tersisih di sekolah atau di bilik darjah.

Kedua,pendekatan ini menjadikan kita lebih peka kepada amalan-amalan sekolah yang selama ini diterima tanpa dipersoal. Ada amalan-amalan sekolah yang secara tidak langsung mendiskriminasi golongan tertentu. Sebagai contoh, sistem pengaliran, pengisian kurikulum dan buku teks yang tidak mengambil kira keperluan dan pengertiannya bagi pelajar-pelajar yang berbilang latar belakang mungkin menyebabkan pelajar tertentu berasa tersisih dan ketinggalan. Oleh itu amalan-amalan sekolah perlulah mengambil kira kepelbagaian keperluan dan budaya pelajar.

Ketiga, mengenali pelajar dengan lebih dekat lagi. Apabila guru dan pihak sekolah peka kepada kepelbagaian pelajarnya dan mengambil inisiatif untuk memahami keperluan dan mengenal mereka dengan lebih dekat lagi, sekolah akan lebih bermakna kepada sebilangan pelajar.

Keempat, untuk meningkatkan peluang untuk berjaya dan menimbulkan kesefahaman dan perpaduan di kalangan pelajar. Budaya asal seseorang pelajar itu boleh mempengaruhi tingkah lakunya di dalam bilik darjah. Ada kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang lemah dan datangnya dari keluarga yang miskin mempunyai gaya belajar yang berbeza. Mereka memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar yang lebih spesifik, berbanding dengan pelajar yang lebih berupaya yang hanya memerlukan bimbingan yang sedikit sahaja dan belajar sendiri.

Kajian juga menunjukkan bahawa ada kanak-kanak kulit hitam yang tidak boleh duduk diam di dalam kelas, kerana dalam budaya mereka berinteraksi, berbual-bual dan menjalankan aktiviti bersama lebih dinilai. Budaya orang kulit putih pula lebih mendorong anak-anak mereka menjadi individualistik dan bersendiri. Jika guru memahami budaya yang dibawa oleh anak-anak muridnya ke sekolah, lebih mudah baginya memahami tingkah laku mereka dan seterusnya menggunakan pendekatan yang lebih berkesan.

Ada lagi beberapa faedah pendidikan berbilang budaya antaranya :

  • Pendidikan berbilang budaya boleh mengurangkan stereotaip dan prasangka (prejudice) di kalangan guru dan murid. Ada guru yang mempunyai perasaan prasangka (yang negatif) kepada murid mereka disebabkan ras, agama, kecacatan, atau kebolehan mereka. Stereotaip biasa seperti budak Melayu ’malas’, budak India suka ’mencari helah’, budak Cina ’terlalu mementingkan diri’ anak-anak cacat tiada kemampuan adalah label-label yang tidak adil kerana dikaitkan kepada kaum-kaum atau golongan tertentu seolah-olah ahli kaum itu mempunyai kebolehan dan perangai yang sama. Ada juga guru yang sengaja mendiskriminasi murid lantaran ras mereka. Murid juga mempunyai perasaan tertentu terhadap murid yang berlainan latar belakang.
  • Pendekatan ini memberi peluang kelompok yang berasa tersisih, meningkatkan keyakinan diri mereka dan meningkatkan peluang mereka mengalami kejayaan.

Seterusnya akan dibincangkan pendekatan pendidikan berbilang budaya yang peka kepada perbezaan pelajar dari segi keperluan khas, stail pembelajaran dan budaya mereka.

No comments:

Post a Comment