Tuesday 5 April 2011

Kecacatan bukan penghalang tiga pelajar OKU catat keputusan cemerlang STPM



KUALA LUMPUR: Kecacatan ternyata bukan penghalang kejayaan apabila tiga pelajar kurang upaya (OKU) diumumkan antara tiga daripada 16 penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM ) dan MUET 2007.
Saravanan a/l Sagadevan, 21, seorang pelajar spastik, Noor Izati Meor Samsudin, 20, cacat penglihatan, Muhammad Marwan Mohd Tanos, 20, pelajar rabun berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam STPM 2007 dan mereka menerima anugerah mewakili tiga kategori yang ditetapkan, di sini, Selasa.
Saravanan dari SMK (J) Chio Min, Kulim yang menerima anugerah pelajar spastik terbaik dengan keputusan 2A 3B tidak pernah terfikir yang dia akan mencatat kejayaan dalam STPM ini.

Penerima-pemerima anugerah cemerlang STPM 2007
Beliau yang tidak dapat bercakap dengan jelas telah menulis di atas sekeping kertas menyatakan penghargaan terhadap pengetua sekolah, guru, Presiden Kamachi Child Home (KCH) iaitu rumah kebajikan yang didiaminya dan rakan-rakan.
Menurut pegawai tadbir KCH, Puan Kamalavathy Naravathan, yang mengiringi beliau, Saravanan merupakan seorang pelajar yang sangat tekun dan boleh belajar tanpa perlu ada bimbingan atau pengawasan.
“Saravanan berasal daripada keluarga miskin dan disisihkan oleh ibu bapanya akibat kecacatan yang dialami.
“Walaupun beliau berjaya mendapat kredit untuk semua mata pelajaran semasa SPM, beliau terpaksa melupakan hasratnya untuk menyambung pelajaran selama setahun akibat kesempitan wang.
“Beliau kemudiannya dijaga oleh seorang pengusaha restoran dan ketika beliau datang mencari kerja di sebuah kedai roti, pegawai dari KCH telah menemuinya dan membawanya tinggal di KCH.
Kamalavathy berkata, Saravanan didaftarkan di tingkatan enam dan sejak itu beliau berusaha bersungguh-sungguh dan mengulangkaji pelajaran lima hingga enam jam sehari kerana beliau mahu mendapatkan keputusan yang baik dalam STPM.
“Bukan setakat itu sahaja, Saravanan juga aktif di dalam sukan yang mana beliau telah mewakili Malaysia dalam sukan bola sepak untuk Sukan Paralimpik 2006.
“Setelah mengecapi kejayaan ini, beliau bercita-cita untuk menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan perisian komputer tidak kira sama ada universiti tempatan atau luar negara,” katanya.
Sementara itu, Noor Izati, pelajar terbaik bagi kategori pelajar buta, yang mendapat 2A, 1B dan 2C+ menyifatkan kejayaannya hasil daripada usaha gigih dan bantuan dari keluarga dan rakan-rakan.

Kejayaan Noor Izzati turut diraikan ibu bapanya
“Saya mengamalkan belajar secara berkumpulan bersama pelajar normal. 

“Rakan-rakan sangat banyak membantu termasuk membacakan buku dan melayari internet.
“Di rumah, adik-adik pula yang memainkan peranan mereka. Apabila mereka membaca, saya merekodkan apa yang dibaca mereka dan mendengarnya untuk ulangkaji.
“Selain itu, saya bersama sembilan lagi rakan yang juga cacat penglihatan sama-sama melakukan pelbagai cara termasuk membeli pita dan pita rakaman untuk tujuan pembelajaran.
“Kami juga meminta bantuan daripada pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang akan datang secara sukarela membantu kami membaca,” katanya.
Izzati yang belajar di SMK St John, Kuala Lumpur bercita-cita ingin menjadi peguam atau pembaca berita dan ingin melanjutkan pelajarannya dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Malaya.
“Alhamdulillah, ternyata anggapan saya selama ini yang kecacatan akan menghalang saya daripada berjaya adalah tidak benar sama sekali dan saya berharap saya akan mendapat tempat dalam bidang yang saya ingin ceburi,” katanya.
Bagi Muhammad Marwan pula daripada Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, walaupun beliau rabun, itu tidak menghalangnya daripada sentiasa mengulangkaji dan tidak segan bertanya guru jika ada kemusykilan.
“Saya belajar bersama seorang rakan yang normal. Ternyata beliau banyak membantu saya.
“Selain itu, saya akan cepat bertanya guru jika ada yang tidak difahami dan jika saya tidak dapat datang ke sekolah, saya akan bertanya rakan-rakan tentang kerja rumah yang diberi guru,” katanya.
Beliau yang berjaya mendapat 3A 1 B dan pelajar terbaik bagi kategori pelajar rabun, bercita-cita ingin menjadi seorang guru atau pensyarah dan berhasrat menyambung pengajian Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim atau di UM.
Kesemua mereka menerima wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan plak. Anugerah disampaikan Pengerusi Majlis Peperiksaan malaysia, Datuk Dzulkifli Abdul Razak.







No comments:

Post a Comment