Tuesday, 27 March 2012

Metakognisi dan Stail Belajar


Nota ini dialih bahasa daripada buku Ormrod "Human Learning". Teori ini sesuai digunakan oleh guru untuk mengajar murid tentang cara belajar yang berkesan dalam bilik darjah.
metacognition.jpg.w300h257PENDAHULUAN Metakognitif adalah tentang proses berfikir mengenai pemikiran, ‘apa yang kita tahu’ dan ‘apa yang kita tidak tahu’. Flavell (1976) menerangkannya sebagai pengetahuan seseorang tentang proses kognitifnya atau sebarang perkara yang berkaitan dengan pembelajaran seperti ciri-ciri pembelajaran yang relevan.

Semakin canggih metakognitif pelajar-pelajar, semakin tinggi pencapaian pembelajaran mereka. Malangnya, kebanyak pelajar pada semua peringkat umur mempunyai pengetahuan yang sedikit tentang bagaimana pembelajaran dan ingatan yang berkesan. Dengan kata lain, metakognitif adalah sebagai ‘pengurus’ atau ‘jurulatih’ pembelajaran. Hal ini dapat membantu pelajar memproses informasi dan memantau keberkesanan pelbagai strategi yang digunakan untuk tugasan pembelajaran yang tertentu.

PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN METAKOGNITIF 
Metakognitif meliputi pengetahuan dan kemahiran seperti yang berikut:
  1. Mempunyai kesedaran tentang apa yang kita pelajari dan kemampuan memori kita serta mengetahui tentang tugasan pembelajaran yang mampu (secara realistik) kita selesaikan. Contohnya, mengenal pasti adalah sesuatu yang mustahil untuk menyelesaikan tugasan membaca 200 halaman dalam satu malam.
  2. Mengetahui strategi pembelajaran yang berkesan dan yang tidak berkesan. Contohnya, menyedari tentang pembelajaran bermakna lebih berkesan daripada pembelajaran hafazan bagi jangka masa panjang.
  3. Merancang pendekatan bagi tugasan pembelajaran yang mungkin akan Berjaya. .Contohnya, mencari tempat sunyi untuk belajar yang kurang gangguannya.
  4. Menggunakan strategi pembelajaran berkesan. Contohnya, mengambil nota lengkap apabila bahan kuliah sukar untuk diingati dan sebaliknya.
  5. Memantau pengetahuan semasa diri sendiri. Contohnya, mengetahui bila maklumat itu berjaya dipelajari dan sebaliknya.
  6. Mengetahui strategi berkesan untuk mengeluarkan semula maklumat yang tersimpan. Contohnya, memikirkan konteks yang sesuai bagi suatu maklumat yang mungkin telah dipelajari.
Kebanyakan idea dan proses cara berfikir tidak diajarkan di dalam bilik darjah. Oleh itu, akibatnya kebanyakan pelajar akan membentuk pengetahuan dan kemahiran metakognitif dengan perlahan serta hanya dicapai setelah melalui pelbagai pengalaman pembelajaran yang mencabar. Pelajar membaca untuk belajar. Pembaca yang baik adalah mereka yang belajar dengan berkesan daripada apa-apa yang mereka baca, seperti hal yang berikut:
  1. Menjelaskan tujuan mereka membaca sesuatu
  2. Pembacaan bergantung pada sama ada mereka mahukan isi kandungan tertentu dalam petikan, belajar secara terperinci sesuatu petikan, atau sekadar membaca untuk menikmatinya.
  3. Menentukan apakah yang amat penting mereka pelajari, ingati dan menumpukan fokus dan usaha terhadap bahan pembelajaran itu.
  4. Berusaha untuk memahami dan meluaskan apa-apa yang dibaca. Contohnya, membuat rumusan dan mengidentifikasi hubung kait wacana dalam bahan bacaan
  5. Menggunakan pengetahuan sedia ada untuk memahami dan meluaskan lagi apa-apa yang dibaca
  6. Membuat jangkaan tentang apa yang akan mereka baca pada bab berikutnya
  7. Menanyakan soalan kepada diri sendiri dan cuba menjawabnya semasa mereka membaca
  8. Dari semasa ke semasa menyemak pemahaman mereka dan mengingati apa-apa yang telah dibaca
  9. Berusaha untuk menjelaskan isi-isi penting yang ambuguiti semasa membaca
  10. Tegas dalam usaha untuk memahami bahan yang dibaca apabila sukar untuk memahami apa yang dibaca
  11. Berusaha untuk membayangkan contoh-contoh yang sesuai dan dapat diaplikasikan dengan idea-idea yang ada.
  12. Membaca untuk kemungkinan perubahan konsep iaitu membaca dengan pemahaman bahawa idea-idea yang ditemukan berkemungkinan tidak sejajar dengan perkara-perkara yang mereka percayai
  13. Menilai secara kritikal tentang apa-apa yang dibaca
  14. Ringkaskan apa-apa yang dibaca
Sebaliknya, pembaca yang tidak berkemahiran iaitu yang menghadapi kesukaran untuk belajar dan mengingati apa-apa yang dibaca kurang menggunakan strategi yang telah dinyatakan. Contohnya, mereka kurang fokus tentang bahan yang dibaca, sukar untuk menggambarkan inferens daripada idea-idea yang ditemukan,; jarang bertanyakan diri sendiri tentang bahan yang dibaca, menjangkakan hal berikutnya, menjelaskan penyataan kabur, atau meringkaskan apa-apa yang dibaca. Mereka juga tidak konsisten mencari idea-idea daripada pembacaan bahkan idea-idea tersebut tidak selari dengan kepercayaan atau pegangan mereka terhadap realiti. Pembaca yang tidak mahir juga mempunyai sedikit kesedaran tentang metakognitif perkara-perkara yang perlu digambarkan dalam otak ketika membaca. Proses metakognisi adalah konsisten dengan teori pembelajaran sosial yakni pembelajaran regulasi kendiri iaitu suatu mekanisme yang digunakan untuk membiasakan diri sendiri dalam aspek kehidupan termasuklah cara mereka belajar.

PEMBELAJARAN REGULASI KENDIRI (Self-Regulated)
Teori pembelajaran sosial dan kognitif  bersependapat dalam menggambarkan pembelajaran berkesan iaitu sebagai suatu proses menetapkan matlamat, memilih strategi belajar yang digemari bagi mencapai matlamat tersebut dan kemudian menilai hasil usaha sendiri.  Dengan kata lain, pembelajaran regulasi kendiri termasuklah elemen-elemen yang berikut:
  1. Motivasi kendiri: mempunyai keinginan untuk menyudahkan tugasan belajar dengan berkesan.  Motivasi tersebut hendaklah datang dari dalam diri individu berbanding pengaruh luaran seperti ganjaran atau peneguhan.  Pelajar akan bermotivasi kendiri hanya jika mereka mempunyai kualiti kendiri (self-efficacy)yang tinggi berhubung dengan kebolehan mereka menyudahkan tugasan pembelajaran dengan jayanya.
  2. Menetapkan matlamat: Mengenal pasti kesudahan yang diingini untuk aktiviti pembelajaran.  Pelajar regulasi kendiri tahu tentang yang perlu diselesaikan apabila mereka belajar atau membaca iaitu mereka mungkin mahu belajar fakta dengan lebih spesifik, mendapatkan pemahaman keseluruhan idea yang diperoleh atau hanya mendapatkan pengetahuan yang secukupnya untuk persediaan ujian di bilik darjah.
  3. Merancang: mengenal pasti cara yang terbaik untuk menggunakan masa yang ada bagi tugas pembelajaran.  Pelajar regulasi kendiri merancang awal tugasan pembelajaran dan menggunakan masa mereka dengan berkesan untuk mencapai matlamat mereka.
  4. Pengawalan tumpuan:  Memaksimumkan tumpuan terhadap tugasan pembelajaran.  Pelajar regulasi kendiri cuba memokuskan tumpuan mereka pada isi-isi pelajaran yang ada dan menghindarkan fikiran dan emosi mereka daripada tersasar atau tidak fokus.
  5. Aplikasi strategi pembelajaran:  memilih dan menggunakan dengan betul cara untuk memproses bahan yang dipelajari.  Pelajar regulasi kendiri memilih strategi belajar yang berbeza bergantung pada matlamat khusus yang ingin dipenuhi; contohnya, cara mereka membaca artikel majalah berbeza mengikut keadaan iaitu membaca untuk hiburan atau untuk peperiksaan.
  6. Pemantauan kendiri:  dari semasa ke semasa menyemak untuk melihat sama ada perkembangan berlaku untuk mencapai matlamat.  Pelajar regulasi kendiri sentiasa memantau perkembangan mereka semasa aktiviti pembelajaran dan mereka mengubah strategi pembelajaran atau memodifikasi matlamat mereka jika perlu.
  7. Penilaian kendiri:  menilai hasil terakhir daripada usaha seseorang.  Pelajar regulasi kendiri menentukan sama ada apa-apa yang dipelajari adalah mencukupi untuk matlamat yang mereka sendiri tetapkan .
Apabila murid-murid adalah pelajar regulasi kendiri, mereka menetapkan matlamat akademik yang tinggi untuk diri mereka, belajar dengan lebih berkesan, dan mencapai tahap yang tinggi dalam bilik darjah.  Sayangnya, tidak banyak pelajar memiliki regulasi kendiri yang tinggi, mungkin kerana sebahagian cara atau kebiasaan yang sangat sedikit mempromosi / memperkenalkan cara ini.

PEMBELAJARAN BERKESAN DAN STRATEGI BELAJAR
Manusia banyak melakukan perkara-perkara yang memerlukan aktiviti berfikir apabila mereka belajar dan mengingat perkara baru, tetapi sesetengah strategi mereka jelas lebih efektif berbanding yang lain.  Dapatan kajian mendapati beberapa pembelajaran berkesan dan strategi belajar seperti pembelajaran bermakna, elaborasi dan organisasi adalah proses penyimpanan ingatan jangka panjang manakala kemahiran mengambil nota, mengenal pasti maklumat penting, pemantauan pemahaman dan meringkaskan adalah strategi tambahan yang ditemukan sebagai teknik yang bernilai dalam tugasan pembelajaran akademik jika digunakan secara tekal.
a) Pembelajaran Bermakna dan Elaborasi
Pembelajaran bermakna (meaningful learning) ialah proses mengaitkan pembelajaran baru dengan pengetahuan sedia ada yang disimpan dalam ingatan jangka panjang manakala elaborasi (elaboration) ialah proses menggunakan pengetahuan terdahulu untuk menginterpretasi dan meluaskan perkara baharu.  Kedua-dua proses melibatkan kaitan antara informasi baru dengan perkara-perkara yang telah diketahui; dan kedua-dua proses ini  dengan jelas membantu pembelajaran kita.
Kajian yang dijalankan oleh Van Rossum dan Schenk (1984) menggambarkan hal ini dengan jelas.  Pelajar-pelajar kolej belajar dan mengambil nota daripada petikan bersejarah, kemudian menduduki ujian bagi bahan-bahan daripada petikan dan menjawab soalan tentang bagaimana mereka belajar.  Kebanyakan pelajar menerangkan pendekatan pembelajaran hafalan (rote-learning) sebagai strategi belajar.  Sebahagian pelajar yang lain menggambarkan pembelajaran bermakna sebagai pendekatan proses belajar.  Mereka berusaha untuk memahami interpretasi, makna abstrak, dan mengaplikasi apa-apa yang dibaca.  Tidak ada perbezaan pencapaian antara dua kumpulan pelajar ini dalam soalan aneka pilihan yang menguji pengetahuan mereka berdasarkan petikan.  Walau bagaimanapun, pelajar-pelajar yang menggunakan strategi pembelajarahn bermakna menunjukkan pencapaian yang lebih baik dalam soalan aneka pilihan yang memerlukan mereka membuat inferens dan menghasilkan integrasi yang baik dan respons kualitatif dalam ujian esei berdasarkan bahan yang sama.
Pelajar-pelajar menunjukan perbezaan menginterpretasi informasi berdasarkan sama ada mereka mengingati fakta atau aplikasi biasa.  Kajian McCallin (1997) terhadap pelajar-pelajar ijazah pertama tentang pendekatan pembelajaran mereka berhubung dengan bahan kursus.  Sebahagian pelajar menggambarkan keperluan mereka untuk belajar teknik pengajaran yang khusus.  Mereka mahu diberitahu dengan jelas apa yang mereka perlu buat di dalam bilik darjah.  Sebahagian pelajar yang lain menjelaskan mereka lebih memilih untuk memahami prinsip-prinsip psikologikal pembelajaran manusia dan tingkah laku supaya mereka dapat membentuk sendiri prosedur mereka di bilik darjah.  Apabila kedua-dua kumpulan pelajar ini diberi senarai konsep asas ujian pendidikan dan mereka diminta melukis diagram (peta konsep) yang dapat menunjukkan kaitan antara konsep.  Kumpulan pelajar pertama (yang ingin diberitahu) bertendensi menggambarkan kaitan antara konsep yang hanya fakta atau langkah-langkah asas.  Sebaliknya, kumpulan pelajar kedua menggambarkan hubung kait antara konsep merefleksi proses yang lebih sofistikated, memasukkan struktur hierarki, sebab akibat hubung kait, dan deduktif logik.
Pelajar-pelajar yang membentuk pemahaman elaborasi dan mengaitkan topik-topik dalam soalan supaya mereka dapat mengaplikasikannya sendiri akan dapat rekonstruksi dan mendapatkan semula bahan kursus/pembelajaran dengan berkesan.  Pelajar-pelajar seharusnya dapat mengaplikasikan prinsip-prinsip psikologi pembelajaran dalam situasi baru atau masalah.
b) Organisasi
Kepentingan organisasi dalaman (internal organization) ialah menemukan kaitan dan hubungan antara kaitan dalam sesuatu infromasi baru yang diperlu disimpan dalam ingatan jangka panjang. Organisasi dalaman boleh menyebabkan sesorang itu sedar akan kewujudan struktur organisasi  bagi kemudahan bahan pembelajaran baru adalah juga merupakan penetapan struktur organisasi pada bahan walaupun  sebenarnya struktur tersebut tidak wujud.
Walau bagaimanapun, pelajar selalunya gagal untuk membentuk struktur organisasi yang sesuai bagi infromasi yang dipersembahkan dalam kuliah mahupun bahan-bahan bertulis.  Berbanding dengan mengenal pasti dan mengambil peluang  wujudnya kaitan antara hubungan dalam sesuatu maklumat, pelajar-pelajar selalunya mengorganisasi pelbagai idea dengan menjadikannya suatu senarai fakta yang tidak berkaitan.   Selain itu, para pelajar agak gemar  mengorganisasi informasi sebagai bahan yang bertambah sukar untuk mereka fahami.
Para pelajar boleh menggunakan beberapa teknik untuk membantu mereka mengorganisasi  bahan dalam bilik darjah dengan berkesan.  Pendekatan yang biasa digunakan ialah menggariskan idea-idea utama  dan tajuk-tajuk penting.  Apabila pelajar belajar tentang menggariskan  perkara-perkara yang  mereka dengar dalam kuliah dan bacaan dalam buku teks, biasanya pembelajaran mereka di dalam bilik darjah  meningkat.
Pelajar cerdas  kurang menggariskan perkara-perkara yang mereka baca  berbanding dengan rakan-rakan normal mereka yang lain.  Hal ini mungkin kerana pelajar cerdas mengorganisasi bahan dalam minda mereka dengan mudah, oleh itu menggariskan idea utama di kertas adalah tidak perlu.
Pendekatan lain ialah membentuk persembahan grafik daripada informasi yang dipelajari seperti peta, carta alir, carta pai atau matriks.  Peta konsep, dibina oleh guru atau pelajar sendiri biasanya dapat membantu prncapaian pelajar dalam bilik darjah.  Pelajar-pelajar bermanfaat dalam pelbagai cara apabila mereka membentuk peta konsep bahan-bahan dalam bilik darjah.  Dengan memfokuskan bagaimana sesuatu konsep itu berkaitan antara satu sama lain, pelajar-pelajar dapat mengorganisasi bahan pembelajaran dengan lebih baik.  Mereka juga akan dapat mengesan dengan cepat bagaimana konsep-konsep baru adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang mereka telah ketahui.    Oleh itu, mereka dapat mempelajari bahan-bahan pembelajaran dengan bermakna.
Peta konsep dapat membantu pelajar  mengenkod informasi dalam ingatan penglihatan  jangka panjang selain secara verbal.  Peta konsep dapat membantu pelajar-pelajar berpencapaian rendah dengan lebih berkesan kerana mereka memproses informasi dengan pelbagai cara sama seperti pelajar-pelajar berpencapaian tinggi.  Peta konsep yang dibina pelajar dapat membekalkan informasi kepada guru-guru dan pelajar, terutamanya jika peta konsep itu dapat mengukur kemungkinan tersalah konsep  dan kelemahan-kelemahan pelajar dalam tanggapan mereka terhadap sesuatu informasi.
c) Mengambil Nota
Mengambil nota semasa kuliah dan bacaan buku teks adalah berkorelasi positif dengan pembelajaran pelajar.   Ada dua fungsi pelajar mengambil nota iaitu;
  • Membantu mengenkod bahan, dengan menulis informasi sambil membacanya di kertas pelajar-pelajar berkemungkinan besar mengenkodnya secara penglihatan dan verbal.  Dengan kewujudan fungsi pengenkodan semasa mengambil nota, pelajar-pelajar dapat lebih mengingati bahan tersebut walaupun mereka tidak berpeluang untuk membaca semula nota-nota tersebut.
  • Nota berfungsi sebagai bentuk luaran konkrit bagi informasi yang diperoleh dalam bilik darjah.  Berbanding dengan pelbagai cara penyimpanan ingatan jangka panjang yang mungkin bermasalah, pensel dan kertas sering membekalkan alternatif jitu.
Keberkesanan pengambilan nota bergantung pada jenis nota yang dibuat.  Nota-nota lebih berguna kepada pelajar-pelajar apabila nota yang diambil itu merangkumi apa-apa yang terkandung dalam bahan pembelajaran.  Peningkatan pembelajaran para pelajar  berlaku apabila informasi itu mengandungi objektif-objektif yang dapat memandu pelajar mengambil maklumat dengan berkesan.  Oleh itu, objektif-objektif bagi setiap unit pembelajaran hendaklah jelas kepada pelajar.  Nota-nota juga akan lebih berkesan apabila pelajar-pelajar meringkaskan idea utama dan memasukkan dengan jelas perkara-perkara yang menyokong idea utama tersebut.  Adalah lebih baik jika nota-nota tersebut mengandungi penerangan luas yang dibuat sendiri oleh pelajar.
Teknik lain yang berkesan ialah mengenal pasti dan menerang dengan lebih luas  dalam nota-nota yang diambil semasa kuliah atau tugasan membaca.  Dalam situasi kuliah, pelajar-pelajar tidak dapat mengawal kelajuan informasi yang diberi dan mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk memproses bahan-bahan secara bermakna.  Dalam keadaan sebegini, pelajar-pelajar mungkin perlu memberi fokus hanya kepada menulis informasi dan mengorganisasi serta mengenkodkannya dengan lebih teratur selepas kuliah.  Malangnya, kebanyakan pelajar menghadapi kesukaran untuk memahami nota mereka sendiri, apabila mereka hendak menyemak semula bahan tersebut.   Oleh itu, guru-guru dapat membantu dengan menulis idea-idea utama di papan putih.  Menitikberatkan idea-idea utama (seperti pengulangan) juga dapat membantu pelajar merekodkan idea-idea itu di kertas.
d) Mengenal pasti Maklumat Penting
Seringkali pelajar-pelajar bertemu dengan banyak informasi yang seboleh mungkin disimpan dalam ingatan jangka panjang bagi suatu tempoh masa.  Hasilnya, mereka mesti mengenal pasti yang manakah maklumat paling penting untuk mereka pilih dan pelajari.  Tugasan tersebut kian mencabar apabila guru yang menentukan  idea-idea penting, yang kadang kala ditanggap berbeza oleh pelajar-pelajar.  Pelbagai tanda-tanda yang dibuat di dalam buku teks atau kuliah, dapat membantu pelajar mendiskriminasi informasi yang penting dengan yang tidak penting.  Walau bagaimanapun, pelajar-pelajar mungkin akan tersalah tanggap jika tanda-tanda tersebut  hadir dalam jumlah yang sedikit atau jauh daripada penerangannya.  Ketiadaan tanda-tanda yang sesuai akan menyebabkan pelajar-pelajar tersasar daripada idea utama atau isi-isi penting dalam tugasan membaca atau kuliah, terutama jika pelajar-pelajar tiada atau hanya mempunyai sedikit latar belakang pengetahuan tentang mata pelajaran / isi kandungan  sesuatu bahan pembelajaran.
Kebanyakan pelajar biasanya menggunakan kaedah-kaedah memilih informasi yang kurang berkesan, contohnya; memfokuskan ayat daripada perenggan pertama atau pada informasi yang distingtif (definisi dan formula) oleh itu mereka sering tertinggal idea utama.  Malahan, pelajar-pelajar kolej juga sering terperangkap dalam situasi sebegini kerana mereka sering tersasar daripada maklumat utama dengan mengambil maklumat yang tidak penting tetapi menarik.  Apabila pelajar telah mahir dalam mengenal pasti idea utama, menggaris atau mewarna isi-isi penting / idea-idea utama pada buku teks atau nota kuliah amat bermanfaat bagi mereka.  Walau bagaimanapun, jika terlampau banyak yang digaris atau diwarna, cara ini pasti kurang berkesan.
e) Memantau Pemahaman
Pelajar yang baik iaitu yang belajar dengan berkesan akan menyemak dari masa ke masa diri mereka untuk memastikan mereka sebenarnya telah menyerap apa-apa yang mereka dengar di dalam kelas atau bacaan dalam buku teks.  Mereka turut mengambil langkah untuk memulih kesukaran pemahaman mereka contohnya bertanyakan soalan-soalan dan membaca semula petikan.  Dengan kata lain, pelajar yang baik  terlibat dalam pemantauan pemahaman kendiri.
Malangnya, kebanyakan pelajar pada semua peringkat umur tidak memantau pemahaman mereka semasa mereka berada di dalam kelas atau ketika membaca buku teks.  Hasilnya, mereka sering mengabaikan apa-apa yang mereka tahu dan yang tidak diketahui, serta mereka mungkin berfikir mereka mamahami sesuatu yang sebenarnya mereka salah tanggap.  Fenomena ini dirujuk sebagai pengetahuan ilusi (illusion of knowledge) atau pengabaian kedua (secondary ignorance)  Contohnya, pelajar-pelajar sering berfikir mereka tahu mengeja suatu perkataan, yang sebenarnya tidak mereka ketahui.
Apabila pelajar-pelajar fikir mereka tahu bahan-bahan pembelajaran di dalam kelas, mereka akan berhenti mempelajarinya.  Oleh itu, pelajar-pelajar yang mempunyai pengetahuan ilusi (illusion) akan berhenti belajar sebelum mereka benar-benar menguasainya.  Akhirnya, mereka kebingungan kerana apabila keputusan peperiksaan atau markah tugasan diperoleh pencapaian mereka rendah.  Salah satu strategi untuk membantu pelajar-pelajar memantau pemahaman mereka ialah dengan meminta mereka membentuk soalan-soalan sebelum melakukan pembelajaran atau tugasan membaca yang kemudiannya perlu dijawab semasa mereka melaksanakan tugasan atau pembelajaran.  Sebagai contoh, sebelum membaca buku teks, pelajar mungkin menukar setiap topic dan subtopik kepada soalan yang perlu dijawab dan kemudian membaca setiap bahagian teks dengan tendensi untuk mencari jawapan bagi soalan-soalan tersebut.  Soalan kendiri (self-questioning)  mungkin akan lebih berkesan apabila pelajar-pelajar melakukannya sepanjang pembelajaran atau tugasan membaca.  Sebagai contoh, pelajar-pelajar ijazah pertama yang bertanyakan soalan kendiri dan mencari jawapan semasa mereka mengambil nota kuliah, akan memahami dengan lebih baik lagi bahan pembelajaran dan mengingatinya dalam jangka masa panjang.
Dengan bertanyakan soalan kendiri, para pelajar akan lebih mengetahui apabila mereka menguasai sesuatu pengetahuan dan bila mereka belum lagi menguasainya.   Snowman (1986) selepas membuat pembacaan terhadap soalan kendiri mendapati wujudnya kesan positif terhadap pemerolehan fakta, tanpa impak yang nyata pada tingkah laku yang canggih seperti mengaplikasi atau membuat penilaian ke atas fakta tersebut.  Hal ini berkemungkinan kerana kebanyakan pelajar bertanyakan diri mereka soalan-soalan utama yang berasaskan fakta berbanding dengan soalan-soalan tahap tinggi mungkin kerana mereka telah mempelajari soalan-soalan kendiri berasaskan fakta dalam peperiksaan di bilik darjah seperti yang diharapkan.  Untuk mempromosikan pembelajaran bermakna, elaborasi dan pada keseluruhannya memproses maklumat pada tahap tinggi, guru-guru patut  menggalakkan pelajar-pelajar sentiasa bertanyakan diri sendiri soalan-soalan seperti berikut:
Terangkan mengapa (bagaimana) ……….
Apakah idea utama ………
Bagaimanakah kamu dapat menggunakan ………
Apakah contoh baru bagi ……………..
Apakah yang kamu fikirkan akan terjadi jika …………..
Apakah perbezaan antara …….. dengan ………..
Bagaimanakah ……….. dan ………. mempunyai persamaan
Apakah rumusan yang kamu dapat bina berdasarkan .........
Bagaimanakah ............akan memberi kesan ................
Apakah kekuatan dah kelemahan bagi ................
Apakah yang terbaik ..............dan mengapa?
Bagaimanakah .............berkait dengan ............ yang telah kita pelajari?
Sebaiknya, pelajar patut menilai pemahaman mereka terhadap pembelajaran bilik darjah pada masa yang lain juga.  Manusia sering melakukan kesilapan dan terlalu cepat optimistik tentang banyak mana ingatan mereka terhadap sesuatu yang telah dibaca.  Pelajar-pelajar perlu memilih cara yang betul untuk mengeluarkan semula maklumat daripada ingatan jangka panjang, yang mana hal ini hanya dapat dibuat jika pelajar memantau pemahaman mereka selepas beberapa minit, jam atau hari-hari berikutnya.
f) Rumusan
Pelajar-pelajar biasanya digalakkan untuk merumuskan bahan yang dibaca atau dengar, contohnya dengan mengintegrasi dan menyejatkan, mempersembahkan bahan abstrak tentangnya atau mengenal pasti tajuk yang sesuai untuk melabelkannya. Malangnya kebanyakan pelajar menghadapi kesukaran untuk merumuskan  dengan secukupnya perkara-perkara yang didengar atau dibaca. 
Jika difikirkan, kita akan sedari bahawa membina suatu rumusan yang baik  bukanlah perkara yang mudah; pelajar-pelajar mesti dapat mendiskriminasikan antara informasi yang penting dengan yang tidak penting, mengenal pasti idea utama yang perlu atau tidak dinyatakan secara terperinci dan mengurus elemen-elemen kritikal dalam bentuk kohesif sepenuhnya.  Dalam situasi di bilik darjah, pelajar-pelajar juga mesti mempunyai kepekaan tentang bagaimana mereka hendak menilai  dan menentukan rumusan mereka itu mempunyai kriteria-kriteria yang telah dinilai.
Pelbagai teori telah mencadangkan beberapa cadangan untuk membantu pelajar-pelajar membentuk rumusan yang lebih baik dalam mata pelajaran yang dipelajari di bilik darjah:
Pelajar-pelajar hendaklah berlatih membentuk rumusan bagi suatu petikan yang pendek, mudah dan diurus dengan baik yang kemudiannya diperkenalkan pula petikan dan teks yang lebih panjang dan sukar untuk dirumuskan.
Setiap kali pelajar-pelajar membentuk ringkasan/rumusan, minta mereka;
  • Mengenal pasti dan mewujudkan satu ayat tajuk bagi setiap perenggan dan bahagian
  • Mengenal pasti konsep-konsep utama atau idea yang akan menjurus kepada sub-subtajuk dan akhirnya kepada poin-poin yang lebih terperinci
  • Cari informasi yang dapat menyokong bagi setiap idea utama.
  • Hapuskan informasi lama dan bertindan
Pelajar-pelajar membanding dan berbincang tentang rumusan mereka, mempertimbangkan idea yang manakah yang paling penting dan mengapa
Strategi-strategi tadi dapat membantu pelajar membentuk rumusan yang baik dan kemuncaknya, dapat belajar dan mengingati bahan-bahan pembelajaran bilik darjah dengan lebih berkesan.  Strategi-strategi seperti rangka kasar, mengambil nota, dan menulis rumusan adalah strategi overt (overt strategies) ; yakni perlakuan yang dapat dilihat.  Strategi lain seperti elaborasi, mengenal pasti informasi utama dan memantau pemahaman adalah strategi covert (covert strategies); yakni proses mental yang tidak dapat dilihat.  Kemuncaknya cara bagaimana pelajar-pelajar memproses informasi yang diterima iaitu strategi covert akan menentukan sama ada apa-apa informasi yang mereka pelajari dan ingati itu berkesan.
RUMUSAN
Pengetahuan manusia tentang pembelajaran yang berkesan dan proses kognitif serta cara-cara mereka menggunakan proses tersebut untuk menambahkayakan pembelajaran mereka adalah dikenali sebagai metakognitif.  Pengetahuan dan kemahiran pelajar-pelajar terhadap metakognitif adalah signifikan berkaitan dengan pencapaian mereka dalam bilik darjah dan pencapaian akademik.   Pelajar-pelajar yang berjaya merupakan pelajar-pelajar yang regulasi kendiri (self-regulated learners), yang secara intrinsik bermotivasi untuk belajar, menetapkan matlamat bagi pencapaian mereka, merancang cara menguruskan masa yang terbaik untuk belajar, sentiasa memastikan perhatian mereka fokus terhadap tugasan pembelajaran, menggunakan strategi-strategi pembelajaran yang efektif, memantau perkembangan pembelajaran mereka dan menilai hasil daripada usaha-usaha yang mereka curahkan.
Pembelajaran dan strategi belajar yang berkesan adalah merupakan pembelajaran bermakna, elaborasi, mengorganisasi, mengambil nota, mengenal pasti maklumat-maklumat penting, pemantauan pemahaman dan rumusan.  Lebih penting lagi, proses mental (strategi covert) yang digunakan oleh pelajar dan mana-mana penggunaan strategi overt hanya akan berkesan apabila strategi covert merupakan penggunaan yang produktif.  Kanak-kanak akan memperlihatkan kematangan metakognitif yang canggih apabila mereka kian membesar dan melalui banyak pengalaman semasa melaksanakan tugasan akademik.
RUJUKAN
Modul  KPLI SR (2007) Ilmu Pendidikan Pengetahuan Ikhtisas Keguruan Unit 2/3, BPG Kementerian Pelajaran Malaysia.
Ormrod, J.E (1999) Human Learning Third Edition, Prentice-Hall International (UK) Limited, London.

(Dipetik dari Wasilah Pendidikan)

Wednesday, 21 March 2012

Mengajar Murid Cara Menulis (Bhgn 3)


Salam sejahtera,
Semoga anda berada dalam keadaan sihat luaran dan dalaman. Biar apa pun yang anda lakukan ketika ini, akan memberi banyak manfaat terutamanya kepada diri sendiri. Terima kasih atas kesudian anda mengunjungi laman ini.
Hari ini, saya sentuh lagi topik berkaitan kemahiran menulis yang sering kali menjadi dilema para pendidik termasuklah ibu bapa. Mari kita perhatikan gambar di bawah. Apakah yang dapat anda nyatakan daripada cara murid menulis berdasarkan gambar tersebut?
Ini adalah sebahagian murid yang tidak tahu menulis secara mendatar semasa menulis di meja masing-masing. Alasan diberi adalah tulisan tidak sama dengan guru kerana tulisan guru menegak di papan putih, di meja mereka pula secara mendatar.
Perkara ini adalah perkara biasa dan guru perlu sentiasa membiasakan murid menulis di meja masing-masing berbanding menulis seperti cara di atas kerana ia akan memungkinkan kesilapan menulis yang lebih banyak selain melengah-lengahkan masa untuk menyiapkan kerja yang diberi.
sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Tuesday, 20 March 2012

Mengajar Murid Cara Menulis (Bhgn 2)


salam sejahtera,
Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera. Terima kasih atas kesudian anda mengunjungi laman ini. Hari ini saya hendak kongsikan lagi topik yang saya telah sentuh sebelum ini iaitu berkaitan kemahiran menulis.
Sebelum ini saya telah pun menjelaskan tentang cara memegang pensel, menulis mengikut arah yang betul dan menulis sambil menyebut abjad yang disebut. Hari ini saya hendak jelaskan pula tentang teknik menulis yang salah dan perlu diperbetulkan.
Gambar di bawah merupakan tulisan daripada salah seorang murid saya yang kita dapat lihat cara atau pun teknik menulisnya kurang betul. Sebagai guru, dapatkah anda kesan apakah kesalahan dilakukan murid semasa menulis ini?
Gambar ini diambil dari sudut murid melihat dan dalam masa yang sama juga menulis. Kesilapan yang ketara apabila kita dapat lihat tulisan murid tidak betul, condong, terlalu jarak dan tidak boleh dibaca.
Faktor ini disebabkan cara menulis murid yang dilihat :
  1. tangan yang menulis itu menutup penglihatan menyebabkan murid tidak nampak huruf apakah yang hendak ditulis.
  2. apabila penglihatan semasa menulis terhad, murid akan tundukkan kepala dan menulis pada jarak meja dan kepala terlalu rapat. Keadaan ini menyebabkan murid mengeluh keana sakit leher.
  3. Cara murid memegang pensel yang terlalu tegak juga menyebabkan jarak penglihatan murid menjadi terhad
Murid sudah terbiasa dengan cara menulis yang seperti ini. Jika tidak diperbetul, maka sampai bila-bila murid akan terbiasa dengan cara dan kaedah menulis yang tidak betul ini.
Sebagai guru, gunakan pengalaman anda menulis untuk memperbetul cara memegang pensel, cara duduk semasa menulis dan jarak penglihatan pada postur menulis yang betul.
Bagi murid yang baru belajar menulis, jangan terlalu mendesak murid atau mengaharapkan mereka boleh terus menulis dengan cantik dan kemas. Ia akan mengambil masa untuk murid belajar biasakan diri dengan kaedah dan teknik menulis yang betul
Semoga berjaya!

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Tuesday, 6 March 2012

Disiplin asertif


Disiplin asertif merupakan suatu pendekatan sistematik dan berstruktur untuk membantu guru mengelola bilik darjah dengan berkesan. Falsafah disiplin asertif adalah berdasarkan kepentingan pematuhan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran.

Aplikasi disiplin asertif oleh guru terhadap murid

  1. Tentukan peraturan yang guru hendak melaksanakannya dalam bilik darjah
  2. Tentukan akibat negatif kerana tidak mematuhi peraturan bilik darjah
  3. Jangan teruskan menghukum jika teknik perbincangan boleh mengurangkan situasi ketegangan
  4. Tentukan akibat positif untuk tingkah laku yang sesuai, misalnya peneguhan positif atau ganjaran kumpulan pun boleh dipertimbangkan
  5. Mengorganisasikan suatu perjumpaan dengan murid-murid dan menjelaskan keperluan untuk mematuhi peraturan bilik darjah

Memahirkan diri dengan teknik asertif:

  1. Apabila tingkah laku yang tidak diingini berlaku, ambil tindakan mengikut peraturan bilik darjah dengan serta merta
  2. Mengenal pasti sebab atau punca berlakunya sesuatu masalah dan memberi respons dengan tingkah laku yang sesuai
  3. Belajar menggunakan teknik memecah rekod dengan mengulang arahan dua kali atau lebih sehingga murid-murid mematuhi arahan guru
  4. Belajar mengaplikasikan teknik ulangan positif yang merupakan cara mengulangi peraturan supaya semua murid mengetahui apa yang patut dilakukan
  5. Menggunakan pujian kedekatan dengan memuji yang terdekat dengan rakan sedarjah yang bertingkahlaku buruk

Monday, 5 March 2012

Mengajar Murid Cara Menulis

Salam sejahtera,
Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat dan ceria di samping dapat menjalankan tugas harian dengan sempurna. Semoga apa jua yang anda lakukan pada ketika ini akan memberi manfaat kepada diri anda dan orang-orang di sekeliling anda. Terima kasih atas kesudian anda melakukan kunjungan ‘rasmi’ ke laman ini.
Baiklah, topik yang hendak saya kongsikan pada hari ini adalah tentang kemahiran pra-tulis. Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya ‘dikekalkan’ oleh pihak pentadbir untuk terus memegang kelas paling hujung dan secara langsung mengajar murid-murid LINUS.
Di dalam kelas saya ada seramai 29 murid. 6 murid perempuan dan selebihnya adalah murid lelaki. Setiap kali mengajar, saya dapati murid mengambil masa yang terlalu lama untuk menulis sesuatu perkataan. Ada murid yang mengambil masa 30 minit untuk menulis satu perkataan. Apabila ditegur mengapa lambat menulis? murid ini akan menangis.
Saya mula membuat pemerhatian selama 30 minit terhadap cara murid menulis, apa yang mereka buat ketika menulis, mengapa satu patah perkataan pun tidak disalin ke dalam buku, dan macam-macam lagi. Segala aktiviti murid ketika itu saya tidak ganggu. Maka banyaklah jawapan dan kemungkinan yang saya peroleh dalam tempoh 30 minit itu.
Ada murid boleh menulis, tetapi disebabkan hilang fokus kerana asyik berbual daripada menulis menyebabkan kerja yang hendak disalin dalam buku tidak menjadi. Ada pula murid berangan, berkhayal dan bermain dengan pemadam, pembaris. Bila ditegur, satu-satu abjad disalin. Apabila dibiar, mereka akan bermain semula dengan pemadam, botol air dan sebagainya.
Dalam 29 murid saya ini, cuma 4 orang sahaja yang saya dapati memang mereka betul-betul tidak boleh menulis kerana tiada asas menulis. Jadi, saya tidak boleh mendesak mereka untuk menyiapkan kerja yang diberi. Melihat kepada cara mereka berempat ini memegang pensel yang tidak betul, arah menulis yang salah, postur badan tidak betul semasa menulis, maka saya harus perbetulkan semua itu.
Oleh yang demikian, langkah yang saya ambil adalah seperti berikut :
  • Minggu Ke-4 dan ke-5 : Mewarnakan gambar, menyambung titik-titik membentuk gambar, menyambung garisan putus-putus membentuk abjad. Tujuannya untuk membiasakan murid memegang pensel dengan cara yang betul dan menulis atau mewarna mengikut arah yang sesuai. Tujuan lain juga adalah untuk melembutkan tangan murid ketika memegang pensel agar tidak terlalu kaku. Latihan ini dapat memperbetul koordinasi mata dan tangan. Pada minggu ini juga, postur duduk murid dibetulkan supaya mereka tidak salah semasa menulis. Menulis mesti dalam keadaan menegak, bukan kepala disengetkan. Cara memegang pensel juga harus diperbetul. Tidak boleh pegang terlalu pendek atau terlalu panjang.
  • Minggu Ke-6 dan ke-7 :Menulis abjad di papan putih, menulis abjad di dalam buku bergaris, menulis suku kata di dalam buku. Bimbingan menulis secara individu, guru akan bantu murid menulis dengan memegang tangan murid dan membimbing murid menulis abjad mengikut arah yang betul. Mulakan dengan menulis abjad yang mudah seperti huruf ‘a’, ‘c’, ‘i’, ‘l’, ‘t’, ‘v’ dan ‘u’.
  • Minggu ke-8 : menulis suku kata ‘kv’ dan ‘kvk’. bimbingan berterusan daripada guru. Jika murid melakukan kesilapan semasa menulis, jangan izinkan murid memadam kesalahan itu. Biarkan kesalahan itu dan minta murid menulis di tempat yang baru. Kemudian minta murid bandingkan tulisan yang mana lebih baik. Minta murid ulang tulis suku kata atau perkataan yang betul dengan kerap. Ingatkan murid supaya lebih berhati-hati semasa menulis dan kurangkan kesilapan. Sentiasa berada di sisi murid setiap 10 minit untuk memastikan murid menulis mengikut arahan.
Pada minggu ke-7, saya mula mendapat hasil bagi dua orang murid yang dapat memahami konsep menulis. Mereka mula menunjukkan peningkatan dalam aspek menulis. Walaupun masih ada kesalahan, tetap saya benarkan dua orang murid ini memadam kesalahan dan memperbetulkannya kerana mereka sudah tahu bagaimana hendak menulis abjad mengikut bentuk dan arah.
Dua orang murid lagi masih ketara kelemahan dilihat dalam menulis. Kadang-kadang mengambil masa satu jam untuk menulis empat abjad. Perkara ini tidak merisaukan saya kerana saya faham mereka tiada asas pendidikan diterima sebelum ke tahun satu. Oleh yang demikian, saya perlukan masa yang panjang untuk memperbaiki segala kelemahan yang dikesan. Insyaallah, jika semuanya berjalan lancar tanpa sebarang halangan, baki dua murid ini lagi akan mengikut jejak rakan-rakan mereka yang sudah boleh menulis.
Sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Admin,
Teacher’s Department

Mengajar Murid Kemahiran Vokal Berganding

Salam sejahtera,
Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera. Semoga hari ini merupakan antara hari yang paling cemerlang dalam hidup anda.
Terima kasih kerana terus melayari laman ini. Saya selaku penulis blog ini amat menghargainya.Terima kasih juga diucapkan kepada pembeli-pembeli ebook saya. Insyaallah, jika tiada aral, lewat hujung tahun ini saya akan melancarkan sebuah lagi ebook yang berkaitan dengan dunia pendidikan Pemulihan. Insyaallah.
Baiklah, hari ini saya hendak berkongsi mengajar kemahiran vokal berganding dengan anda. Sebagaimana yang diketahui, kemahiran ini agak sukar dikuasai murid jika konsep mengeja yang diajar tidak dapat difahami dengan jelas oleh murid.
Bahan Bantu Mengajar – kemahiran vokal berganding
  • Kad perkataan mengandungi vokal berganding.
  • permainan – Dadu
  • Kad imbasan bergambar
  • lembaran kerja :
  1. lembaran kerja – memadan perkataan dengan gambar
  2. lembaran kerja – menulis vokal berganding berpandukan gambar
  3. lembaran kerja – mencari perkataan tersembunyi
Panduan Mengajar :
  1. Tunjukkan salah satu gambar daripada kad imbasan dan minta murid sebutkan nama gambar. Sila lihat contoh di bawah :
  2. Guru rangsang murid untuk menyebut nama gambar yang dilihat.
  3. Murid akan memberi jawapan iaitu : buah durian
  4. Tunjukkan kad perkataan bagi : durian
  5. Bimbing murid konsep eja perkataan ‘durian’ menggunakan kad suku yang dipecahkan kepada suku kata berwarna. Lihat contoh di bawah :
  6. Kemudian, minta murid eja sendiri perkataan mengikut suku kata.
  7. Jika sudah boleh, tunjukkan kad perkataan (gabungan suku kata pertama dan kedua tadi). Lihat contoh di bawah :
  8. Rangsang murid untuk mengeja dan membatang perkataan ini secara kumpulan dan individu.
  9. Tunjukkan kad imbasan bergambar yang lain dan ulang langkah di atas.
  10. Edarkan lembaran kerja kepada setiap murid.
  11. Pantau aktiviti murid semasa lembaran kerja di edarkan.
  12. Semak latihan murid melalui perbincangan
  13. Edarkan permainan bahasa berbentuk dadu ( dadu mengandungi vokal berganding pada setiap muka)
Sekian,
NORHAIDI BIN HJ SARPONEN
Teacher’s Department

Sawan atau Kejang Otak

seizurechild
Saya baru sahaja menerima sms daripada seorang sahabat. Beliau adalah seorang pengetua sebuah taska asuhan kanak-kanak. Salah seorang kanak-kanak di taska beliau telah mengalami serangan sawan untuk pertama kalinya. Pengalaman tersebut sangat mengejutkan seluruh anggota pengasuh kerana ia merupakan insiden pertama di taska tersebut.
Sawan babi juga boleh dikenali sebagai kekejangan otak atau seizures (BI). Kebiasaannya sawan berupakan pergerakan seluruh anggota otot badan bersilang-silang mengeras dan melembut (generalised tonic clonic). Ada juga sawan yang melibatkan pergerakan satu bahagian badan sahaja seperti satu tangan atau satu kaki. Sawan yang berupa kejang kebiasaannya disertakan dengan pergerakan mata hitam ke atas atau ke tepi mata, lelehan air liur, terkencing dan terbuang air besar. Kadang-kadang, mulut atau hidung pesakit akan kelihatan kebiru-biruan (tanda tidak cukup oksigen).
Tempoh kekejangan adalah dari beberapa saat ke beberapa minit. Kemudian, ianya diikuti dengan pesakit akan tidur selama beberapa minit.
Ada juga sejenis sawan yang agak pelik iaitu Petit Mal atau Absence di mana pesakitnya tidak mengalami sebarang kekejangan otot dan mata tetapi mata mereka tiba-tiba memnadang ke satu tempat selama beberapa saat atau minit tanpa badan, suara atau mata menunjukkan sebarang reaksi atau respon kepada stimulasi (staring into space with or without jerking movements of the eye muscles).
Bagaimana untuk mengesahkan anak atau jagaan anda mengalami sawan?
Cuba pegang anggota badan mereka contohnya tangan atau kaki, jika ia masih lagi mengejang dan mengeras semasa dipegang, maka itu adalah sawan. Ini berbeza dengan keadaan menggigil. Ramai juga ibu bapa yang tersilap menganggap menggigil adalah sawan. Kemudian simptom akan diikuti dengan simptom mata, air liur dan buang air kecil atau besar seperti yang saya terang di atas. Kemudian pesakit akan berasa mengantuk selama beberapa minit.
Apa yang boleh anda lakukan?
1. Jangan panik!
2. Terus menunggu di sebelah pesakit iaitu jangan tinggalkan pesakit walau seketika (jika hanya berduaan dengan pesakit).
3. Catatkan tempoh sawan dan perhatikan simptom-simptom di atas sama ada ia ada atau tidak.
4. Tidak perlu memegang pesakit. Cuma, perlu jauhkan pesakit daripada sebarang objek atau perabot keras. Dan mungkin boleh alihkan pesakit ke atas tilam atau alas yang lembut.
5. Jangan letakkan apa-apa barang ke dalam mulut pesakit.
6. Selepas sawan berhenti, segera letakkan pesakit di dalam keadaan mengereng supaya sebarang muntah atau lelehan air liur tidak menyebabkan pesakit tersedak atau tercekik.
recoveryposition
7. Kemudian, baru dapatkan bantuan daripada orang lain atau menelefon 999 atau 112 (telefon mudah alih). Semua sawan mesti dirujuk ke hospital dan bukannya ke klinik-klinik kecil.
8. Redakan sebarang demam panas dengan membasahkan (tepid sponging) badan mangsa supaya pesakit tidak mendapat sawan yang ke dua.
9. Jangan beri sebarang ubat demam melalui mulut semasa atau selepas sawan. Boleh gunakan ‘ubat punggung’ (suppositories).
10. Pemerhati sawan atau witness mesti hadir ke hospital supaya doktor dapat mengambil keterangan dengan teliti dan jelas.
Pencegahan
1. Setiap ibu bapa, guru atau penjaga mesti tahu sejarah kesihatan dan alergi anak atau jagaan mereka.
2. Kenal pasti sebarang faktor atau trigger yang boleh mencetuskan sawan seperti pemakanan, televisyen, komputer, kekurangan tidur, stres, keletihan atau penat dan yang paling biasa ialah demam panas.
3. Rawat segera keadaan demam panas. Pastikan anda menyimpan paracetamol suppositories (panadol per rectal) untuk keadaan kecemasan seperti sawan.
4. Penjaga harus lebih berhati-hati dan prihatin dengan anak-anak yang demam dan segera bertanyakan kepada ibu bapa sekiranya ada sebarang kes-kes yang istimewa seperti sawan.
Rujukan: http://en.wikipedia.org/wiki/Seizure