Thursday, 24 May 2012

Mitos tentang anak Autisme




KETIKA memerhatikan anak-anak bermain, ada ketikanya kita mendapati sesetengah kanak-kanak berada di dalam dunianya sendiri.

Mereka gagal bercampur dan bermain riang seperti anak-anak lain. Bahkan, ada antara anak-anak ini sangat cepat mengamuk. Mereka juga mempunyai masalah pertuturan, walaupun secara logiknya pada usia tertentu mereka sudah boleh bercakap.

Apabila berbual, mata mereka akan menoleh ke arah lain dan bukannya kepada si penutur.

Sekiranya anda mempunyai anak-anak yang bersikap seperti ini jangan mengandaikan ia perkara normal. Ada kemungkinannya anak-anak ini menghidap autisme.

Sebenarnya, ada banyak tanda lain yang boleh diperhatikan pada anak-anak austisme ini. Mereka juga bermain dengan cara yang janggal dan suka menyusun mainannya.

Mereka seolah-olah sedang bermain dalam dunianya sendiri dan tidak menghiraukan orang lain, walaupun mereka sedang bermain dengan anak-anak lain.

Ada ketikanya, mereka ini sangat hiperaktif dan cenderung bermain dengan benda yang tidak dianggap barang mainan seperti barang-barang di dapur dan sebagainya.

Sebab itulah, ibu bapa seharusnya memerhatikan sindrom autisme ini sepatutnya diperhatikan. Adakalanya tanpa rawatan awal, sindrom ini akan dibawa sehingga dewasa yang menyebabkan tindakan yang diambil pada waktu itu mungkin sudah terlambat.

Inilah hakikat yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa apabila kanak-kanak ini membesar. Sehingga kini, punca autisme masih samar-samar.

Bagaimanapun, autisme bukanlah penyakit yang berjangkit. Walaupun belum ada penawar, tetapi pengetahuan ibu bapa mampu memberikan mereka harapan. Mereka patut didedahkan dengan spesifikasi keupayaan tertentu.

Secara umumnya, autisme wujud dalam semua budaya. Di Malaysia, pada tahun 2000 dianggarkan terdapat 47,000 rakyat Malaysia yang menghidap austisme. Di United Kingdom, dianggarkan setengah juta orang mengalami autisme.

Sekiranya ada dalam kalangan ahli masyarakat yang mempunyai anak-anak autisme, ia tidak perlu berakhir dengan kekecewaan.

Keupayaan intelektual

Asalkan anak-anak ini ada keupayaan intelektual, mereka boleh menjadi manusia yang berjaya. Keupayaan mereka sangat spesifik, selalunya dalam bidang sains. Sebab itulah, ibu bapa perlu mengesan simptom ini lebih awal, agar kanak-kanak ini dapat dihantar ke sekolah khas yang boleh mengubah tingkah laku dan keupayaan mereka.

Kalau mereka dibiarkan bersekolah bersama anak-anak normal, ia akan menyebabkan mereka ketinggalan dan tidak mampu mengikuti pembelajaran seperti anak-anak lain.

Selalu terjadi, ada ibu bapa yang tidak mahu menerima hakikat bahawa anak mereka sebenarnya menghidap autisme. Kesannya, mereka terus menghantar anak-anak ini ke sekolah biasa. Hasilnya, ia hanya merosakkan masa depan mereka.

Dalam mata pelajaran Matematik, kajian menunjukkan keupayaan mereka umumnya pada tahap bawah purata. Bagi mereka yang hanya mempunyai simptom autisme sederhana, mereka berupaya menguasai matematik. Bagaimanapun, mereka sukar dalam banyak subjek lain. Mereka juga sukar dalam hal temu duga.

Bagaimanapun, ada kes-kes terpencil. Kumpulan ini dikenali sebagai mathematic gifted. Ia seperti watak Raymond yang dilakonkan oleh Dustin Hoffman dalam filem Rain Man. Sungguhpun begitu, ia kes yang sangat jarang.

Ia sebenarnya adalah salah tanggapan yang sering berlaku dalam masyarakat. Orang selalu beranggapan bahawa anak-anak autisme ini ialah manusia yang genius. Harus diingat, ia hanya kes terpencil.

Hakikat yang perlu diketahui, majoriti daripada anak-anak ini kalau tidak dirawat lebih awal akan mengalami masalah ketika dewasa.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu cenderung untuk memerhatikan anak-anak mereka. Kalau dilihat anak-anak kita seperti dalam dunianya sendiri, gagal berkomunikasi dan mempunyai tingkah laku di luar kelakuan normal kanak-kanak, adalah lebih baik mereka dibawa berjumpa pakar.

Jangan anggap ia hal normal atau cuba menolak hakikat bahawa anak-anak kita sedang dilanda masalah.

Boleh dirawat

Walaupun tidak ada ubat khusus, sebenarnya autisme boleh dirawat dengan pendidikan dan terapi khas. Asalkan kita menyedari hal ini terlebih awal dan ia dilakukan ketika mereka masih di peringkat kanak-anak.

Sebenarnya, tidak ada salahnya mempunyai anak-anak autisme, tetapi yang salahnya ialah apabila kita melihat semua perkara sebagai normal kerana kononnya hanya anak orang lain menghidap autisme dan bukan anak kita.

Jangan anggap kerana tidak ada keturunan yang mengalami autisme atau kerana kita mempunyai pendidikan yang baik, kita tidak mungkin mempunyai anak autisme.

Autisme tidak ada kena mengena dengan keturunan, budaya atau sebab yang lain. Tidak ada siapa yang tahu puncanya. Sekiranya kita diuji dengan anak-anak autisme, maka menjadi tugas kita untuk memastikan masa depan mereka terus terbela. (Kosmo)