Tuesday 1 November 2011

tiPs mEnangaNi aNAk... Tidak terkecuali anak-anak autisma kita.

by Salju Sakinah on Wednesday, October 19, 2011 at 4:00pm

1) Jangan pukul anak dari lutut keatas

2) Jangan gunakan tangan/anggota tubuh kita utk memukul anak dengan tangan dan jangan sesekali menampar anak pakai tangan kita. nanti anak jadi bertambah degil dan nakal dan tak boleh control

3) Rotan/pukul anak di telapak kakinya . Secara saintifiknya ada kaitan dengan refleksologi dan merangsang ke bahagian otak

Sabda Rasulullah s.a.w. "Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)" dimana yang nak dipukul tu? Tapak kakinya ... bukan muka, punggung, telinga dan ditempat-tempat yang sensitif... itu salah...

4). Mulakanlah hidup anak anda dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. (Dalam Islam sendiri nama panggilan yang baik adalah digalakkan).

5). Berikan anak anda pelukkan setiap hari (Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk)

6). Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang (Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran)

7). Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan (Berilah pujian, pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya).

8). Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkaratermasuklah berbuat silap.

9). Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga,pilihlah keluarga (Seorang penulis menyatakan anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali).

10). Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah tuan/puan mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.

11). Dengarlah cerita anak anda, cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap (Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap)

12). Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya.

13). Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.

14). Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadinya. Sediakanlah hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. (Anak2 yg dtg daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain).

15). Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali.

16). Luangkanlah masa bersama anak anda diluar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri.

17). Dengarlah mimpi ngeri anak-anak anda. Mimpi ngeri mereka adalah begitu real dalam dunia mereka.

18). Hargailah permainan kesayangan anak anda. Mereka juga dalam masa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.

19). Janganlah membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam,

20). Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibubapa yang sempurna. Ini akan mengurangkan stress menjadi ibu bapa.

21). Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.

22). Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka, dua puluh tahun dari sekarang anda pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak anda mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri.

"anak- anak ibarat kain pUtih. iBu bApa laH yanG mencoRakkanNya menjaDi yAhudI, nAsRani atAu mAjusI"

Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK)

(copyright) Profesor Isahak Haron 2006

Modul 1: Pengenalan  Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK): Latar belakang dan Prinsip

Objektif:
  • supaya guru mengetahui latar belakang dan prinsip Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) sebagai alternatif kepada kaedah abjad/fonik dan kaedah Seluruh Perkataan.
  • Guru dapat menggunanya dalam modul-modul 6 – 8.

Seperti yang dihuraikan dalam Modul 2, 3 dan 4,  terdapat dua mazhab dan pendekatan besar dalam pengajaran awal membaca bahasa Inggeris, iaitu pendekatan fonik dan pendekatan seluruh perkataan. Pendekatan fonik bermula dengan mengajar kanak-kanak huruf abjad dan bunyinya, kemudian baru membaca perkataan. Pendekatan seluruh perkataan pula terbalik: ia bermula dari mengajar ‘perkataan’ kemudian ‘analisis perkataan’ supaya murid tahu suku kata, huruf dan bunyinya.  Salah satu sebab pengajaran awal  membaca dan menulis tidak mudah ialah kerana sistem ejaannya celaru dan tidak fonemik. Jadi sebenarnya terdapat sekumpulan perkataan yang mudah diajar dalam kaedah fonik, dan sekumpulan lagi lebih berkesan diajar secara seluruh perkataan melalui ‘pandang dan sebut’.


Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) bagi pengajaran awal Bahasa Melayu berbeza dengan ‘pendekatan  fonik/abjad’ atau ‘seluruh perkataan’  dalam bahasa Inggeris.  KGBK berasaskan kepada ciri-ciri istimewa yang terdapat dalam Bahasa Melayu, yang tidak terdapat dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Arab atau Bahasa Cina.

a)    Ia mengambil kira sistem ejaan Bahasa Melayu yang sistematik dan
      fonemik: maksudnya, setiap huruf mewakili satu bunyi, kecuali huruf e, di  
      mana terdapat dua bunyi.
      Misalnya, huruf a bunyinya ‘aa’, huruf b bunyinya ‘bh’,  c  bunyinya ‘ch’,  d  
      bunyinya ‘dh’, m bunyi ‘mm’ dan sebagainya. Hanya e mempunyai dua
      bunyi, iaitu e taling seperti dalam perkataan ‘emak’, ‘enam’ dan e pepet
      seperti dalam ‘ekor’ dan ‘elok’.

           Untuk mengetahui lebih lanjut sistem ejaan Bahasa Melayu (Rumi) rujuk,
           Dewan Bahasa dan Pustaka (1991), Pedoman umum ejaan rumi Bahasa
           Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

b)    Suku kata Bahasa Melayu jelas, misalnya ‘ba tu’,‘ka ki’, ‘ma kan’, ‘ka kak’, ‘i tu’, ‘i tik’, ‘se ko lah’, ‘jam ba tan’, ‘bu nga’, ‘ta nya’ ‘pe nyu’ ‘su ngai’ ‘pan tai’, kam pung’, ‘per ja la nan’ dan sebagainya.

c)     Tatabahasa Bahasa Melayu lebih mudah berbanding dengan tatabahasa Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Misalnya dalam Bahasa Melayu tidak ada perbezaan bentuk bagi gender (laki- laki atau perempuan) untuk menyatakan ‘banyak’ (plural), untuk menyatakan perbezaan waktu (past tense, present tense) seperti dalam bahasa Inggeris. 

Dengan itu  pengajaran membaca Bahasa Melayu peringkat awal untuk kanak-kanak (atau kepada sesiapa saja yang mula belajar Bahasa Melayu) boleh dibuat dengan menggabungkan
a)    pengajaran ‘bunyi’ asas (fonem) beberapa huruf vokal  ‘a  i  u’  dan bunyi satu atau dua huruf konsonan, misalnya bunyi ‘b’, untuk membentuk bunyi suku kata ‘ba bi  bu’, dan
b)    terus membaca perkataan mudah  ‘baba,  bibi,  bubu, ubi, ibu abu’, dan frasa seperti ‘bubu baba’, ‘ibu abu’ yang bermakna,  dalam satu atau dua  pelajaran saja.

       Bila kita gabungkan bahagian (a) dan (b) di atas, iaitu mengabung  ‘bunyi’  
       dengan  terus   membentuk perkataan dan membacanya, kita sudah
      mengguna apa yang   dipanggil kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK),  
      Kaedah ini dinamakan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK), kerana dalam   
      satu set   pengajaran-pembelajaran, ‘bunyi huruf dan suku kata terus
      digabung menjadi   ‘perkataan’ dan dibaca.


      Dalam kaedah ini murid diberi asas kemahiran untuk
a)      mengesan (attack) sesuatu perkataan, dengan melihat bunyi hurufnya dan suku katanya, jika ia tidak tahu membacanya. Ini penting untuk memberi kemahiran atau kecekapan mereka membaca sendiri perkataan baru. Misalnya setelah murid boleh membaca suku kata ‘ba  bi  bu‘ dan ‘ca  ci  cu’ dan boleh membaca perkataan ‘cucu, baca, cuci’ mereka sendiri akan boleh membaca ‘cuba’ dan ‘bucu’.
b)      membaca perkataan yang bermakna serentak dalam suatu  pelajaran. Dengan ini mereka mendapati proses belajar membaca itu memberi makna dan berguna. Kajian kami menunjukkan kebanyakan murid  bermotivasi untuk mencuba lagi membaca setelah mereka mula tahu membaca beberapa patah perkataan begini.

Dalam KGBK
  1. murid tidak perlu diajar mengenal dan menghafal semua huruf abjad secara berturutan dari a, b, c sampai x, y, z seperti dalam kaedah abjad/fonik. Ini mengambil masa panjang (2, 3 bulan di setengah sekolah). Murid juga tidak perlu diajar semua  suku kata terbua seperti ba  bi  bu  be  be  bo, ca  ci  cu  ce  ce  co, dsb’ yang mengambil masa sebulan lagi,  sebelum murid  boleh diajar membaca perkataan dan ayat. 
  2. murid tidak perlu diajar ‘mengecam seluruh perkataan’ (pandang dan sebut perkataan) dan menghafal bentuknya, kemudian ‘cerakin’ perkataan  untuk mengenal huruf dan bunyi huruf, seperti dalam kaedah seluruh perkataan. Dalam KGBK kanak-kanak terus ‘membina’ dan ‘membaca perkataan’ berdasarkan suku kata yang mereka belajar dalam satu pelajaran itu.   

3. Perkembangan unit-unit pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat secara  
     sistematik berturutan (sequential) berkembang, di mana pelajaran yang 
    lalu terus diguna untuk belajar membaca pelajaran yang baru.

    Setiap unit baru berkembang berasaskan unit sebelumnya. Misalnya,
    setelah murid belajar membaca ‘b dan  ba  bi  bu’ dan perkataan-perkataan
    daripada suku kata ini seperti ‘ibu baba, ubi abu’,  murid boleh disambung
    berikutnya untuk belajar bunyi konsonan ‘k’ pula; membentuk dan
    membunyikan suku kata  ‘ka   ki   ku’  dan terus  membaca perkataan atau  
    frasa ‘kuku  kaki  aki’. Jika dicantum pula dengan suku kata ‘ba  bi  bu’
    yang dipelajari sebelumnya, murid boleh membina dan membaca
    perkataan dan ayat seperti ‘buku abu; abu buka buku’.

    Fasa pertama kanak-kanak menguasai membina dan membaca perktaan 
    suku kata terbuka; fasa kedua membina perkataan suku kata tertutup
    (kv +kvk seperti ‘ka sut’, ‘bu kit’  atau kvk+kv) seperti ‘lam pu’ ‘lembu’ dan
    sebagainya.  Fasa berikutnya murid belajar jenis-jenis perkataan suku
    katanya diftong (seperti sungai, pulau) dan imbuhan seperti ber me, mem
    seperti ‘berjalan’, ‘memberi’, melawan’ dan sebagainya.

4. Murid juga terus membaca ayat mudah dalam sesuatu pelajaran itu.

Langkah-langkah asas dalam pengajaran membaca dan menulis KGBK.

1.  Perkenalkan bunyi vokal mudah  a   i  u, dan cara menulisnya
2.  Perkenalkan bunyi konsonan mudah seperti  b dan cara menulisnya
3. Bentuk suku kata terbuka (kv) darinya, supaya menjadi  ba  bi  bu dan cara menulisnya.
4. Bina perkataan dari suku kata (kv + kv), seperti  ‘baba  bibi  bubu  babu,  ibu’
5. Bina rangkai kata atau ayat, seperti  ‘ibu abu,  babu baba’
6. Murid menulis menyalin apa yang mereka baca: huruf, suku kata dan perkataan.

Pelajaran berikutnya

  1. Ulang pelajaran unit yang lalu
  2. Perkenalkan huruf konsonan baru, misalnya ‘c’
  3. Bina suku kata  ca  ci  cu
  4. Bina perkataan kvkv seperti ‘caca  cucu  cuci  aci  acu’
  5. Guna suku kata pelajaran yang lalu ba  bi  bu, untuk membina lagi perkataan seperti  baca  bucu  cuba 
  6. Bina frasa atau ayat seperti  cucu aci,  ibu cuci ubi, dsb
  7. Murid salin apa yang dibaca.

Kaedah ini dinamakan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata, kerana dalam satu set pengajaran-pembelajaran, ‘bunyi huruf dan suku kata terus digabung menjadi ‘perkataan’ dan dibaca.

Contoh langkah-langkah pengajaran KGBK secara terperinci seterusnya, diberi dalam Modul 4, 5, 6 dan 7.

Semua langkah di atas dibuat dalam satu atau dua pelajaran saja. Ini bererti unsur ‘membunyikan’ huruf dengan membina dan ‘membaca  perkataan’ boleh digabungkan dalam sesuatu pengajaran-pembelajaran membaca. Pada akhir setiap pelajaran kanak-kanak ‘boleh’ membaca ‘perkataan’, frasa atau ayat bermakna. Ini didapati lebih mudah dan cepat untuk murid belajar membaca dan menulis, iaitu murid menulis apa yang dibaca. Murid tidak perlu mengenal dan menghafal semua huruf sebelum belajar membaca.

Pendekatan ini membolehkan pembinaan dan susunan bahan pengajaran-pembelajaran dan peningkatan kemahiran membaca  dibuat secara berturutan  (sequential) dan berkembang (developmental). Contohnya adalah  seperti dalam buku saya Mari Membaca, Utusan Publications, 1982, dan  Mudah Membaca Bahasa Melayu, Fajar Bakti, 1990; dan buku Bahasa Malaysia, siri Genius, beserta Panduan Guru, Fajar Bakti, 2003, untuk pra sekolah, dan buku Ceria 2M terbitan Ilmu Bakti.

Dari kajian kami, susunan bahan pengajaran-pembelajaran secara berturutan  (sequential) dan ‘developmental’, kumulatif dan sistematik ini memudahkan guru mengajar 2M dan memudah murid belajar 2M bahasa Melayu. Dari pemerhatian dan laporan guru, murid boleh membaca dengan lancar ‘cerita mudah’ dalam tempoh kurang dari tiga bulan, jika diajar  sejam sehari, lima hari seminggu mengikut susunan KGBK dalam buku itu.

Pendekatan ‘gabungan’ dan susunan bahan secara kumulatif seperti dalam KGBK ini tidak mungkin berlaku dalam ‘pendekatan abjad/fonik’, ‘pendekatan seluruh perkataan’, atau ‘pendekatan eklektik’ yang diguna sekarang untuk mengajar  Bahasa Inggeris.

Pendekatan KGBK menyatakan bahawa  tidak perlu dipisahkan ‘sequence’ antara mengenal ‘bunyi-huruf’  dengan  membina-dan-membaca ‘perkataan’. Pendekatan KGBK ini juga  tidak  memulakan pengajaran membaca dengan memperkenalkan  ‘perkataan’ (whole word) dahulu dan kemudian ‘mencerakinkannya’ menjadi suku kata dan ‘bunyi’ setiap huruf.  Ini menyusahkan dan melambatkan kebolehan kanak-kanak membaca .  Dalam kaedah abajd / fonik, murid  perlu belajar dahulu nama huruf dan bunyi semua huruf  a  b  c…sampai …x  y  z sebelum mereka  diajar membaca perkataan, frasa atau ayat. Ini juga melambatkan dan menyusahkan setengah murid  dan mereka akan tercicir.

Ramai guru masih percaya kuat bahawa kalau murid ‘tidak kenal huruf  abjad, murid itu tidak boleh diajar membaca Bahasa Melayu. Begitu juga guru yang mengajar Bahasa Inggeris. Kepercayaan ini didasarkan kepada pengalaman mereka diajar dan belajar membaca di zaman kanak-kanak dahulu, iaitu mengenal huruf abjad a, b, c ..x, y, z dahulu sebelum membaca.

Ibu bapa juga percaya anak-anak hendaklah diajar a b c dahulu sebelum boleh diajar membaca. Maka kadang-kadang  timbul konflik di antara guru tadika yang mengajar kanak-kanak membaca mengguna KGBK (dan kanak-kanak itu boleh membaca ), tetapi ibu bapa masih tidak puas hati dan mahu anak mereka diajar   a  b  c. sampai.....x  y  z  mengikut susunan dalam abjad.  

Nota
Dalam pengajaran 2M kita perlu juga mengajar kemahiran berbahasa lain, iaitu mendengar dan bertutur. Guru hendaklah membina keempat-empat kemahiran berbahasa ini.

Walau pun terdapat pendekatan gabung jalin sebagai ‘pendekatan am’ untuk mengajar bahasa, ada kaedah dan teknik  tertentu khusus untuk mengajar kanak-kanak ’membaca dan menulis’ pada peringkat permulaan.  Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) digubal secara sistematik untuk mengajar kanak-kanak 2M, supaya mereka mudah membaca. Kemahiran murid mendengar dan bertutur  terselit secara informal semasa guru dan murid, murid dan murid berbual, mendengar dan bercakap. Guru tentu sekali harus mengajar murid menyebut sesuatu perkataan itu dengan sebutan standard. Guru hendaklah juga selang selikan aktiviti pengajaran  membaca dengan membaca kuat (read aloud) buku kepada murid, atau menyanyi semasa mengajar 2M, supaya murid  seronok belajar.

Nota: Ada  guru mengguna kaedah dan buku Awal Membaca Siri Genius Fajar Bakti 2006 atau buku yang umpama  dalam pengajaran mereka, dan menokok tambah aktiviti untuk memperkayakan pembelajaran. Ini amat digalakkan. Sejak kebelakangan ini, ada pengarang yang mengarang dan menerbitkan  buku  berdasarkan pendekatan ini, dengan memberi berbagai nama untuknya.



Ringkasnya

Pendekatan  Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK)  menyatakan bahawa kita boleh menggabungkan proses mengajar ‘mengenal bunyi-huruf’ dengan ‘membina-dan-membaca perkataan’ dalam satu atau dua pelajaran, dan kanak-kanak terus membaca perkataan, frasa atau ayat. Ia  digubal  atas  keistimewaan yang terdapat dalam sistem ejaan Bahasa Melayu, di mana sistem ejaannya fonemik dan sistematik,  suku katanya  jelas, dan tatabahasanya yang mudah berbanding dengan sistem ejaan yang celaru dan tatabahasa yang lebih kompleks dalam Bahasa Inggeris. 

Haruslah diingat bahawa KGBK adalah fasa pertama untuk memudahkan murid mula belajar membaca. Setelah asas awal membaca dikuasai oleh murid, dan murid boleh membaca sendiri ayat dan cerita mudah, maka fasa seterusnya ialah  murid diberi dorongan dan peluang membaca berbagai bahan bacaan: cerita, puisi, dan buku pilihan,  supaya mereka  terus membaca sendiri, dan tertanam tabiat dan minat  membaca. Jika ini berlaku, ia akan menjadi bekalan dan asas untuk ‘pendidikan sepanjang hayat’.

Sedikit tentang latar belakang dan sejarah  KGBK: Bila dan bagaimanakah KGBK digubal?

Untuk mengelak daripada kekeliruan tentang sejarah dan asal usul  Kaedah Gabungan Bunyi Kata ini, dan dakwaan orang lain yang mereka mencipta atau menggubah  kaedah KGBK ini,  saya perturunkan sedikit sejarah pembinaan kaedah ini dan penerbitan buku-buku saya tentang kaedah ini.

Setelah membaca laporan dalam akhbar, dalam tahun 1979, bahawa 30 - 40% murid di sekolah rendah, terutama di Sekolah Kebangsaan yang tidak boleh membaca, saya pun berfikir bagaimanakah ini boleh terjadi, kerana pada pendapat saya bahasa Melayu sangat mudah untuk diajar membaca dan menulisnya, terutama huruf tulisan rumi. Dari tijauan saya saya dapati kebanyakan guru mengguna ‘kaedah abjad’. Sebahagian kecil mengguna kaedah ‘pandang dan sebut’ (look and say), iaitu kaedah seluruh perkataan yang popular di kalangan guru yang mengajar bahasa Inggeris di peringkat awal.

Saya berpendapat mungkin salah satu sebeb kenapa ramai murid tidak boleh membaca ialah kerana kaedah pengajaran 2M yang kurang berkesan, dan kurang latihan. Maka dengan mengguna pengetahuan teori dan amalan pengajaran Bahasa Melayu yang saya ada untuk menggubal satu kaedah yang boleh menggabung pendekatan ‘fonik’ (berasaskan bunyi) dan pendekatan ‘seluruh perkataan’.

Pada 8 – 10 Disember 1979 saya membentang satu kertas kerja di KONPEN IV anjuran Persatuan Suluh Budiman di Kuantan, Kertas bertajuk “Beberapa Kaedah Mengajar Murid-Murid Membaca Bahasa Malaysia di Peringkat Awal,” . Dalam kertas ini saya meninjau beberapa kaedah mengajar membaca BM di peringkat awal, dan memperkenalkan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) sebagai cadangan untuk mengatasi ramai murid di sekolah rendah, terutama di Sekolah Kebangsaan, yang tidak boleh membaca.

• Kertas kerja ini diterbit dalam Jurnal Dewan Bahasa Jilid 24 Bil. 7, Julai 1980.
( lihat Lampiran 1).

• Pada Februari 1980 satu bengkel diadakan bersama guru-guru sekolah kebangsaan di Kuala Terengganu, untuk membina bahan pengajaran/pembelajaran mengguna kaedah ini, untuk dicuba di sekolah kebangsaan. Pemerhatian  rambang guru  mendapati kaedah ini berkesan. Guru mendapati ia mudah diguna, dan murid mudah belajar 2M.

• Bulan April 1980 Kaedah ini dibentang di Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), di Jalan Duta. Kaedah ini dianggap berguna dan dijadikan salah satu kaedah  pilihan (ke-4) dalam Buku Panduan Am, Kurikulum Baru Sekolah Rendah, (KBSR) terbitan Kementerian Pelajaran Malaysia, 1981,  ms. 63 – 69.

* Kaedah Gabungan Bunyi-Kata dijadikan asas untuk Panduan Guru Bahasa Malaysia KBSR Tahun I (Jun 1981) untuk SRJK Cina dan SRJK Tamil.

• Tetapi Panduan Guru Bahasa Malaysia (KBSR) Tahun 1 (1981) bagi Sekolah 
 Kebangsaan tidak mengguna KGBK untuk mengajar Bahasa Malaysia Tahun 1. Kaedah   yang menjadi pegangan ialah ‘ Kaedah Cerakin’ (yang dianggap sebagai kaedah PPK)  dan Kaedah Abjad, sebagai panduan guru mengajar.

• 1982 Utusan Publications menerbitkan buku saya  ‘Mari Membaca’ yang mengguna kaedah KGBK ini (lihat contoh Lampiran 2). Buku ini digunakan di setengah Sekolah SRJK Cina dan Tamil.

* 1986 Fajar Bakti menerbitkan  buku saya Kegiatan Tadika 2: Mari Membaca untuk tadika.  Buku ini banyak diguna di tadika swasta di bandar-bandar.

• 1990 buku Mudah Membaca Bahasa Malaysia diterbitkan oleh Fajar Bakti, sebagai lanjutan kepada buku  Kegiatan Tadika 2 Bahasa Malaysia di atas,  untuk murid Tahun 1. (Lihat contoh Lampiran 3).

* 2001 buku di atas telah diedit semula dan diterbit oleh Fajar Bakti dalam siri Tadika Fajar Bakti, dengan jodol Mudah Membaca dan Menulis 1 & 2.

* 2001 buku Ujian Membaca dan Menulis 1 & 2 yang diedit dari buku asal pada 1990,  juga diterbitkan oleh Fajar Bakti

* 2003 buku Bahasa Malaysia 1 – 6  Siri Genius (beserta Panduan Guru) diterbitkan oleh Fajar Bakti, untuk prasekolah  (Lihat Lampiran 4)

* 1996 Dewan Bahasa dan Pustaka terbitkan buku saya ‘Bahasa Malaysia’ Tahun 1, menggunakan kaedah ini.

Pelajar boleh merujuk artikel dan buku-buku di atas untuk melihat contoh-contoh bahan p & p dan alat ujian.

Rujukan tambahan
* Isahak  Haron (1990), Mengajar Membaca Peringkat Awal. Dalam Safiah Osman (ed). Membaca : Satu Pengenalan, Berita Publishing, Kuala Lumpur.

Untuk mengetahui sistem ejaan Bahasa Melayu (Rumi) rujuk,
Dewan Bahasa dan Pustaka (1991), Pedoman umum ejaan rumi Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Beberapa kajian dibuat tentang keberkesanan kaedah KGBK (untuk huruf rumi dan jawi) oleh pelajar disertasi sarjana pendidikan. Kajian juga dibuat  di UPSI misalnya kajian (Laporan, 2004),  yang bertajuk dan abstraknya di bawah.

Kajian Awal Membaca Bahasa Melayu: Keberkesanan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata untuk Prasekolah dan untuk Pemulihan  (2004)

Abstrak

Kajian  ini menyemukakan  pendekatan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) untuk  pengajaran-pembelajaran membaca dan menulis Bahasa Melayu peringkat awal (early reading and writing), sebagai alternatif kepada model atau pendektan ‘Abjad/Fonik’ dan pendekatan ‘Seluruh Perkataan’ ( whole word), yang banyak diperkatakan dalam pengajaran membaca Bahasa Inggeris sejak lebih lima puluh tahun lalu.  Pendekatan KGBK menyatakan bahawa pengajaran membaca BM boleh dibuat dengan mengajar kanak-kanak ‘bunyi’ beberapa huruf vokal dan konsonan,  menjadikannya suku kata dan terus membina dan membaca ‘perkataan’ atau frasa atau ayat, dalam satu dua pelajaran saja. KGBK ini diasaskan kepada ciri-ciri istimewa yang terdapat dalam bahasa Melayu, iaitu sistem ejaannya fonemik (terdapat hubungan yang jelas antara  bunyi dan simbol (huruf) (sound-simbol relationship), suku kata perkataan bahasa Melayu yang  jelas, dan tatabahasa Melayu agak mudah berbanding dengan sistem ejaan dan tatabahasa bahasa Inggeris.  Kanak-kanak prasekolah dan murid ‘pemulihan’ dengan mudah boleh  diajar membaca Bahasa Melayu dalam jangka masa yang pendek.

Kajian empirikal,  untuk menguji keberkesanan  model atau pendektan KGBK,  dibuat dalam dua konteks: pertama,  konteks pengajaran kanak-kanak prasekolah di 12 tadika Kemas di Hulu Selangor. Setelah tiga  bulan guru tadika Kemas mengajar kanak-kanak membaca dan menulis mengguna KGBK, kemajuan kebolehan  membaca 326 orang murid di tadika ini agak ketara.
Konteks kedua ialah di mana  KGBK digunakan oleh guru-guru pendidikan khas untuk ‘memulihkan’ murid sekolah rendah di Perak dan Pulau Pinang yang  ‘tidak boleh’  membaca atau lemah  membaca.  Soalselidik survey  digunakan untuk mendapat repons dan penilaian tentang keberkesanan KGBK daripada  sampel 75 orang guru pendidikan khas sekolah rendah  di tiga daerah pendidikan: PPD Hilir Perak, PPD Kerian dan PPD  Timur Laut Pulau Pinang.   Dapatan menunjukkan kumpulan guru yang mengguna ‘sepenuhnya atau sebahagian besar’ KGBK  mendapati Kaedah ini mudah dan  berkesan  untuk ‘memulih’ murid membaca dan menimbulkan minat mereka membaca, berbanding dengan golongan guru yang mengguna ‘separuh saja’ Kaedah ini.

Dapatan dari kajian penggunaan  KGBK di kedua-dua konteks menunjukkan yang KGBK berkesan  sebagai kaedah alternatif kepada kaedah yang guru amalkan sekarang untuk mengajar murid prasekolah membaca,  atau untuk mengajar ‘memulih’ murid yang  ‘tidak boleh’ atau lemah membaca BM di sekolah rendah.
Dari segi sumbangan kepada teori atau model pengajaran awal membaca, dapatan kajian keberkesanan KGBK ini ‘menolak’ anggapan bahawa terdapat ‘konflik’ antara kaedah ‘fonik’ dan kaedah ‘seluruh perkataan’ seperti yang terdapat dalam pengajaran awal membaca Bahasa Inggeris. KGBK merupakan model Ketiga dan pendekatan alternatif  yang berasas dan ‘viable’ untuk pengajaran awal membaca  Bahasa Melayu atau bahasa-bahasa yang seumpama Bahasa Melayu. 
Aplikasi praktikal dapatan kajian ini ialah KGBK boleh diguna untuk mengajar kanak-kanak prasekolah dan Tahun 1 membaca dan menulis Bahasa Malaysia dengan lebih mudah dan cepat,  dan untuk ‘memulihkan’ masalah ‘tidak boleh membaca’ pelajar sekolah rendah dengan berkesan.